Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menambah 472 pegawai penguat kuasa bagi memastikan keberkesanan proses pemantauan dan salah laku terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Pelaksanaan GST, Abdul Kadir AlJailani Mohd Shariff, berkata kesemua pegawai itu akan bertugas di seluruh negara, mulai minggu hadapan.

“Langkah itu juga untuk memastikan keberkesan `Ops Catut’. Kini terdapat 1,800 pegawai penguat kuasa di seluruh negara,” katanya selepas menjadi tetamu program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio24 yang membincangkan tajuk ‘Pelaksanaan Penipuan CBP’, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sehingga semalam, 69,327 aduan diterima menerusi sistem aplikasi telefon mudah alih (MyKira GST), 4,919 (media sosial) dan 3,647 (laman e-Aduan).

Sebarang aduan dan pertanyaan berhubung isu pengguna boleh menghubungi 03-8000 8000 dan 1-800-886-800 atau e-mel kepada [email protected] atau layari www.kpdnkk.gov.my. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 11:34 PM