ANIL dan Bipasha mempunyai ramai peminat di negara ini.
ANIL dan Bipasha mempunyai ramai peminat di negara ini.
FAWAD Khan
FAWAD Khan
PARINEETI Chopra
PARINEETI Chopra
Oleh Nor Akmar Samudin


Lebih 100 pelakon terkenal Bollywood akan hadir ke Kuala Lumpur bagi menghadiri penganjuran Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA) ke-16 di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 7 Jun depan.

Perhimpunan terbesar penggiat filem Hindi itu diadakan selama tiga hari mulai 5 Jun di mana antara programnya, Konsert Bollywood Rock Night di Istana Budaya, Kuala Lumpur, diikuti keesokan harinya tayangan perdana filem terbaru Bollywood berjudul Dil Dhadakne Do lakonan Ranveer Singh, Priyanka Chopra, Anil Kapoor, Shefali Shah, Farhan Akhtar dan Anushka Sharma di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Antara pelakon yang mengesahkan kedatangan mereka ke IIFA tahun ini ialah Dia Mirza, Sridevi, Parineeti Chopra, Arjun Kapoor, Boney Kapoor, Fawad Khan, Jacqueline Fernandez dan sudah semestinya semua pelakon Dil Dhadakne Do.

Sejak era 1950-an dan 1960-an lagi industri filem Hindi sudah merentasi dunia dan ia lebih gemilang dengan kehadiran ramai bakat baru yang diwarisi daripada keluarga mereka seperti generasi Karisma dan Kareena Kapoor dan juga keluarga Bachchan.

Boleh dikatakan industri perfileman Bollywood kini seperti milik keluarga masing-masing kerana bakat lakonan ibu bapa diwarisi anak.

Ia bukanlah suatu yang janggal atau menghairankan kerana mereka dibesarkan di persekitaran dunia lakonan.

Lantaran penerimaan peminat di seluruh dunia terhadap filem Bollywood, saban tahun IIFA diadakan di luar negara yang mana kedatangan majlis berprestij itu disambut secara besar-besaran.

Ini kali kedua IIFA diadakan di Kuala Lumpur selepas penganjuran kali pertama pada 2002.

Penganjuran IIFA ke negara ini dibawa Malaysia Major Events (MME) di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang secara tidak langsung IIFA dapat mempromosikan negara ini kepada pelancong asing untuk bersama-sama datang memeriahkan majlis anugerah itu.

Bersempena itu juga, kelmarin diadakan sidang media IIFA ke-16 dengan kehadiran dua bintang ternama Bollywood, aktor Anil Kapoor dan aktres Bipasha Basu.

Dengan wajah ceria meraikan peminatnya di negara ini, Anil yang akan turut membuat persembahan berkata, dia tidak sabar menantikan IIFA kerana ia masa terbaik untuk bertemu semua penggiat seni Bollywood.

“IIFA boleh diibaratkan seperti sambutan Deepavali dan Krismas kerana ketika itu semua meluangkan masa untuk berjumpa dan mengeratkan persahabatan. Selepas bekerja keras sepanjang tahun, IIFA adalah ruang terbaik untuk berehat dan meraikan kejayaan.

“Sebagaimana peminat filem Hindi begitu teruja menyaksikan setiap filem lakonan kami, begitulah juga dengan saya yang setiap begitu ternanti-nantikan kedatangan IIFA.

“Malaysia juga antara negara yang sering menerima kunjungan pelancong dari India dan saya yakin jumlahnya bertambah dengan penganjuran IIFA di sini, tahun ini, “ katanya.

Kata Anil lagi, unik dan istimewanya filem Hindi kerana peminat di seluruh dunia meskipun tidak tahu dan tidak faham bahasa Hindi, namun mereka amat meminati filem Bollywood.

“Filem adalah universal lantaran ia dapat menyatukan peminat di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Bipasha Basu turut gembira kerana dapat membuat persembahan kepada peminatnya di sini.

“Saya turut mengambil peluang datang ke Malaysia bagi menikmati keindahan negara ini dan juga merasai pelbagai makanan yang ada. Saya keturunan Benggali dan saya dengar di negara ini banyak restoran yang menyediakan sajian Benggali yang hebat dan menyelerakan.

“Pasti saya tidak akan melepaskan peluang itu. Selain itu juga saya mengutip banyak kenangan manis di setiap penganjuran IIFA. Ketika majlis anugerah ini diadakan di Macau pada 2009, saya demam, tetapi tetap membuat persembahan kerana mahu menggembirakan hati peminat,” katanya.

Hadir sama pada majlis sidang media itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Convention & Exhibition Bureau, Zulkifli Sharif dan Pengurus Besar Malaysia Convention & Exhibition Bureau, Tony Nagamaiah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:11 AM