Skip this ad x
Cheah (kiri) dan Ketua Eksekutif Iskandar Regional Development Authority Datuk Ismail Ibrahim, semalam.

Johor Bahru: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), pemaju induk Nusajaya akan membangunkan bersepadu fasa kedua Gerbang Nusajaya di kawasan seluas 1,841.72 hektar yang dijangka menjadikan kawasan pentadbiran negeri itu sebagai hab komersial dan perniagaan utama.

Ketua Pegawai Operasi, Komersial, UEM Sunrise, Raymond Cheah berkata, projek yang menguasai nilai pembangunan kasar (GDV) RM42 bilion itu akan dibangunkan dalam tempoh 25 tahun.

Menurutnya, ia menjana lebih 200,000 peluang kerja langsung dan tidak langsung di kawasan itu.

“UEM Sunrise turut merancang membangunkan baki 64 peratus simpanan tanah Gerbang Nusajaya secara holistik yang belum dibangunkan secara berperingkat bagi memastikan pembangunan sejajar dengan prestasi ekonomi tempatan dan luar negara serta kemampuan pasaran semasa.

“Gerbang Nusajaya yang juga pintu masuk ke Iskandar Malaysia bakal menjadi enjin komersial dan perniagaan kepada Nusajaya,” katanya pada majlis penerangan dan sidang media Gerbang Nusajaya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pembangunan fasa kedua itu direka untuk pertumbuhan melalui pembangunan mercu tanda dan perkongsian strategik dengan pemaju dan syarikat multinasional terkemuka.

Menurutnya, Gerbang Nusajaya mempunyai beberapa mercu tanda yang dibangunkan antaranya projek usaha sama dengan Kumpulan Ascendas dari Singapura bagi taman teknologi bersepadu mesra alam seluas 210 hektar dikenali Nusajaya Tech Park.

Katanya, Gerbang Nusajaya memperkenalkan sebuah bandar permotoran seluas 121.4 hektar iaitu FASTrack Iskandar yang juga projek usaha sama antara UEM Sunrise dengan syarikat di Singapura, FASTrack Autosports (Iskandar) Sdn Bhd.

“Nusajaya Tech Park menarik pelanggan seperti Telekom Malaysia (TM) manakala FASTrack Iskandar hampir memuktamadkan butiran terperinci bagi memulakan pembinaannya.

“Gerbang Nusajaya turut menyaksikan usaha sama UEM Sunrise dengan Kuala Lumpur Kepong Bhd bagi mewujudkan pembangunan seluas 202.3 hektar yang terdiri daripada 75 peratus kediaman dan 25 peratus komersial dan runcit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:16 AM