Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Batu Pahat menggagalkan cubaan menyeludup masuk 485 karton rokok kretek dan putih bernilai RM40,000 di Perairan Sungai Ayam, di sini, malam tadi.

Sekatan dan serbuan dilakukan ke atas sebuah bot fiber dikesan bergerak laju ke arah Sungai Ayam, pada 10.20 malam.

Ketua Penguatkuasa Pengkalan Maritim, Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah , berkata bot terbabit terus memecut laju ke kawasan berlumpur paya bakau apabila anggota APMM menghampirinya.

Menurutnya, tekong bot kemudian nekad meredah kawasan berlumpur untuk melarikan diri dan gagal dikesan kerana keadaan persekitaran yang gelap.

"Pemeriksaan di dalam bot yang ditinggalkan itu menemui dua guni berisi 485 karton rokok kretek dan putih pelbagai jenama," katanya pada sidang media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 4:19 PM