BEDAH ketika ditemui dirumahnya di Felda Ulu Denga, Kluang manakala foto kecil adalah gambar awrah anaknya. FOTO Adnan Ibrahim

Kluang: Ibu kepada arwah Nursyafikah Ahmad Ismail, 24, yang maut ditikam bekas tunangnya, di sini, semalam, tidak menyangka pemuda itu berdendam dengan anaknya.

Bedah Bontak, 63, berkata ini kerana lelaki berusia 20-an yang dikenali sebagai Zam itu bersungguh-sungguh meminta maaf daripada anaknya dan sempat makan tengah hari di rumah mereka sebelum kejadian.

“Dia datang ke rumah kami kira-kira 11 pagi, dan memohon maaf daripada Nursyafikah kerana memutuskan pertunangan mereka.

“Agak pelik kerana dia muncul secara tiba-tiba selepas beberapa bulan menghilangkan diri.

“Namun, kami sekeluarga tetap melayannya dengan baik dan menjamunya makan,” katanya di rumahnya di Felda Ulu Dengar, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemuda berkenaan berada di rumahnya kira-kira dua jam sebelum dihantar pulang ke bandar Kluang oleh adik dan abang Nursyafikah.

Nursyafikah yang bekerja di sebuah pasar raya maut selepas kepalanya terhantuk pada motosikal dipercayai akibat ditolak pemuda berkenaan dalam satu pertengkaran.

Mangsa kemudiannya ditikam dengan pisau dan meninggal di hospital.

Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di pasar raya tempat mangsa bekerja, kira-kira 6 petang semalam.

Pemuda berkenaan dipercayai cemburu kerana gadis itu sudah bertunang dengan orang lain.

Nursyafikah dikatakan bertunang dengan pemuda berkenaan pada 2014, sebelum putus enam bulan lalu.

Gadis itu kemudian bertunang pula dengan seorang pemuda lain, awal tahun ini, dan dijangka bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

Bedah turut mendakwa sepanjang pertunangan dengan suspek, anaknya dipercayai pernah dipukul beberapa kali.

“Anak saya sangat kecewa apabila lelaki itu memutuskan pertunangan mereka dan tidak menghubunginya sehingga dia muncul semula semalam,” katanya.

Suspek kini sedang diburu polis.

Bedah berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ulu Dengar, hari ini.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut melawat keluarga mangsa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:31 PM