X

Besut: Seorang pekerja kafe Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila, di sini, cedera di bahu kanannya akibat dilibas dengan pedang oleh seorang lelaki tidak dikenali, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah, berkata ketika kejadian, mangsa berusia 31 tahun, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, dalam perjalanan pulang dengan morosikal selepas selesai bekerja kira-kira 12.15 tengah malam.

“Ketika dalam perjalanan, mangsa menyedari dia diekori penunggang motosikal lain dan ketika melalui kawasan berhampiran Stadium Mini Kampung Raja, suspek menetak mangsa dari belakang, mengenai bahu kanan mangsa yang mencederakannya," katanya.

Mangsa kemudian terus menunggang ke Balai Polis Kampung Raja untuk membuat laporan dalam keadaan berlumuran darah, kemudian dibawa keluarganya ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk mendapatkan rawatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 6:45 PM