KHATY masak dan hidang sendiri juadah di restorannya.
BERSAMA tetamu pada majlis pelancaran Khadijah Kitchen di Shah Alam.
Oleh Ardini Sophia Sina


Dalam usia 55 tahun, Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty bukan saja terus gigih berjuang mengalunkan suaranya, malah satu lagi minat dan cintanya iaitu di dapur.

Sentuhan air tangannya tidak perlu dipersoalkan lagi dengan adanya restoran sendiri, Khadijah Kitchen di Petaling Jaya sejak lima tahun lalu, malah penyanyi Malaysia Truly Asia itu pernah mengusahakan restoran di New Zealand. Kini restorannya berkembang lagi dengan pembukaan ketiga di Shah Alam selepas di Danau Kota.

Mereka yang pernah mencuba makanan di restorannya pasti mengakui penyanyi popular dengan lagu Ku Sangka Siang Kiranya Malam itu hebat di dapur. Dia sendiri akan memasak menu di restorannya.

Khaty yang ditemui ketika pembukaan cawangan ketiga Khadijah Kitchen di Berandah, Plaza Shah Alam, mengucapkan syukur atas sambutan baik terhadap restorannya.

Katanya, dua restoran sebelum ini tertutup tetapi cawangan ketiga berkonsepkan kopitiam. Ia juga menjadi penanda aras untuk lapan lagi cawangan yang bakal dibuka tahun ini.

“Khadijah Kitchen kini menjadi restoran francais. Semua cawangan akan mempunyai menu sama iaitu makanan Melayu seperti roti jala, lempeng dan pisang goreng. Keistimewaan cawangan ketiga ini juga, kami menyediakan sarapan setiap Sabtu dan Ahad.

“Tahun ini, saya fokus pembukaan cawangan di seluruh Malaysia terlebih dulu dan tahun depan akan meluaskannya ke luar negara. Fokus saya di Sydney, Melbourne dan Berlin.

“Baru-baru ini ada orang Melayu yang tinggal di sana berharap saya membuka Khadijah Kitchen di sana. Itu yang membuatkan saya sangat bersemangat,” katanya.

Cawangan ketiga ini dibuka bersama rakan kongsi, Jahlilawati Abu Bakar yang juga pemilik perniagaan Bisnes Jaya.Com.

Kata Khaty, rakannya berminat menjadi rakan kongsi apabila diberitahu mengenai peranca­ngan membuka cawangan baru di Shah Alam.

“Selain lokasi menarik, Jahlilawati yang saya panggil Kak Jah berminat dengan konsep yang saya tampilkan kali ini hingga terus bersetuju,” katanya.

Khaty juga berhasrat membuka cawangan di Singapura kerana belum ada restoran menyediakan makanan Melayu autentik di kota Singa itu. Bagaimanapun, katanya, semuanya bergantung pada masa dan rezeki.

Antara nyanyian dan kerjaya, dapat dirasakan jadual masanya dalam sehari padat. Bukan hanya perlu memantau tiga restoran, tetapi juga meluangkan masa untuk persiapan konsertnya nanti.

Katanya, dia akan muncul dengan lagu baru, Kurnia Baiduri tidak lama lagi dan turut sibuk dengan persiapan konsert di Istana Budaya awal tahun depan.

Mula menyanyi sejak usia 19 tahun, hingga kini Khaty masih mampu mengekalkan namanya dalam dunia seni. Katanya, kesibukan mengurus perniagaan tidak menghalangnya untuk terus menghiburkan peminat.

“Saya sangat berdisiplin dan komited pada kerja. Siang saya memasak untuk menyediakan makanan di restoran. Malam adalah masa untuk berlatih menyanyi atau menyelesaikan urusan berkaitan kerjaya seni.

“Pada usia begini, saya masih menyediakan jadual. Apa yang dijadualkan, itu yang akan saya buat. Saya tidak akan lakukan perkara lain atau sengaja melambatkannya. Andai kita menjaga disiplin, semua yang kita rancang akan berjalan teratur,” katanya.

Mengenai konsert di Istana Budaya yang dijangka berlangsung pada 22 hingga 24 Januari 2016, Khaty turut mengundang empat sahabat baiknya. Bagaimanapun, Khaty belum bersedia mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai konsert itu. Tambah pula dia masih dalam proses berbincang dengan beberapa penaja.

Apa yang membuatkan Khaty bersemangat, konsert itu bertujuan mengumpul dana bagi membeli empat bas yang akan digunakan membantu mana-mana rumah kebajikan yang memerlukan kenderaan.

“Sudah lama saya tidak mengadakan persembahan dalam skala besar dan ini adalah masa untuk saya menghiburkan peminat sambil beramal.

“Saya mahu mencari dana membeli bas untuk digunakan mana-mana pusat kebajikan yang memerlukan kenderaan.

“Contohnya, anak yatim yang dijemput menghadiri majlis berbuka puasa atau rumah terbuka tetapi mereka tidak ada kenderaan. Kami akan menggunakan bas itu untuk mereka,” katanya. Mengenai perancangan menghasilkan album, Khaty akui semuanya dalam perancangan dan berjalan dengan baik. Katanya, dia akan melancarkan buah tangan terbarunya ketika konsertnya nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:07 AM