PEMANDANGAN pada waktu malam.
TANGGA batu di lereng bukit menuju ke masjid berkenaan.
MASJID ini seolah-olah terbit dari bumi.
TEMPAT wuduk.
ARKITEK menggunakan sinaran matahari dari atas untuk menarik tumpuan terhadap beberapa elemen penting masjid.
JEMAAH mendengar khutbah.
Susunan Syed Ahmad Zulkarnain Syed Ali
syedahmad@hmetro.com.my


Sekali imbas, sebuah masjid unik yang terletak berhampiran Istanbul, Turki sangat berbeza dengan masjid lain di seluruh dunia.

Kebiasaannya, masjid mempunyai bumbung berbentuk kubah dan menara tinggi bagi melaungkan azan.

Masjid Sancaklar yang direka oleh firma seni bina Emre Arolat Architects ini mengubah pandangan mengenai binaan masjid dan dianggap antara seni bina terbaik dunia.

Bangunan itu mempunyai dinding yang dihasilkan daripada acuan konkrit dan dewan solat direka seperti sebuah gua.

Firma Turki itu membina masjid itu dengan menggabungkan batu berwarna kelabu terang dan konkrit bagi menghasilkan suasana unik.

Satu binaan batu bertingkat seperti tangga di sekeliling masjid berkenaan menambah lagi keunikan bangunan itu.

Kompleks masjid seluas 700 meter persegi itu yang dibina di satu lokasi di Buyukcekmece, pinggir Istanbul, dipisahkan dari kawasan penduduk oleh satu lebuh raya yang sibuk dan tembok batu tinggi.

Jika dilihat dari jauh, hanya bumbung batu dan sebuah menara masjid berkenaan yang kelihatan.

“Masjid ini menghindari sebarang perbincangan seni bina mengenai bentuk dan fokus terhadap isu ruangan beribadat,” kata firma itu.

Sejumlah batu disusun secara bertingkat seperti tangga bagi mewujudkan pemandangan seolah-olah rumah ibadat ini tenggelam di bawah tanah.

Rumput juga ditanam di sekeliling susunan batu bagi menonjolkan pemandangan bertingkat dan bumbung masjid.

Masjid berkenaan juga mempunyai kombinasi ruangan konkrit, dinding batu dan kawasan taman yang dipagari skrin kaca yang tinggi.

Untuk masuk ke kawasan taman yang terletak di tingkat bawah itu, pengunjung perlu melalui laluan yang dibina di atas satu kolam.

“Bangunan ini sebati dengan kawasan sekelilingnya dan dunia luar seperti ditinggalkan ke belakang apabila pengunjung menuruni setiap anak tangga untuk masuk ke masjid.

“Projek ini secara tidak langsung menamatkan ‘ketegangan’ antara binaan manusia dengan alam semula jadi.

“Susunan tangga batu yang mengikut bentuk muka bumi yang bercerun dan kepingan konkrit nipis yang membentuk kanopi membantu mengeratkan lagi gabungan ini,” kata firma itu.

Ruangan solat yang besar terletak di tengah masjid dan lengkap dengan ruang legar, tempat menyimpan kasut serta tandas.

Jemaah lelaki dan wanita dipisahkan oleh tembok berwarna hitam yang berlubang. Tembok berlubang itu memberi privasi kepada jemaah wanita dan pada masa sama membolehkan mereka melihat khatib membaca khutbah di mimbar.

Ruang solat utama mempunyai lantai konkrit dan siling bertingkat. Lampu dipasang di setiap tingkat dan ruangan di siling bagi memberi pencahayaan yang lembut.

“Seni bina dalaman masjid ini menyerupai ruangan sebuah gua dan ia memberikan suasana dramatik dan mengagumkan.

“Suasana ini memberi ketenangan kepada jemaah untuk beribadah dan bersendirian bersama Tuhan,” katanya.

Masjid Sancaklar yang siap dibina pada 2012 dinobatkan sebagai bangunan keagamaan terbaik pada Festival Seni Bina Dunia pada 2013.

Tahun ini, Masjid Sancaklar dicalonkan untuk anugerah seni bina terbaik 2015 yang dianjurkan oleh Muzium Seni Bina di London, Britain.

Sebanyak 76 bangunan dan projek seni bina yang dicalonkan dipamerkan dalam satu pameran di muzium berkenaan sehingga 23 Ogos ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:08 AM