Oleh Rudy Imran Shamsudin


Program Idola Kecil musim kedua yang disertai sewaktu berusia 12 tahun juga Idola Kecil Ultra tahun lalu membuka ruang kepada bintang remaja, Azzam Sham atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 18, melangkah lebih jauh.

Ternyata bakat yang ada pada dirinya berjaya mencuri perhatian banyak pihak, termasuk syarikat rakaman baru, Studio 57 yang turut menaungi penyanyi berimej misteri, Encik Mimpi.

Sebaik menandatangani kontrak bersama Studio 57, Azzam diberi keutamaan hinggakan rakaman single terbarunya Cinta Sejatiku dan klip video dilakukan sepenuhnya di Jakarta, Indonesia.

Azzam yang pernah tampil dengan dua single sebelum ini iaitu Kekasihku ciptaan Ajai dan Dengar dihasilkan AG Coco menjelaskan, dia bertuah apabila pemilik Studio 57 dan penerbit juga pencipta lagu Cinta Sejatiku, Rumhadi Rumnan memberi peluang besar itu.

Ditemui baru-baru ini bagi berkongsi pengalaman bekerja di studio di Jakarta dan menjalani rakaman klip video di sana, kata Azzam, menariknya sewaktu rakaman dijalankan, pihak penerbit menyediakan dua pengarah vokal bagi mendapatkan jiwa lagu yang dirakam.

“Ia pengalaman baru buat saya memandangkan sewaktu rakaman dua single sebelum ini, nyanyian saya dikawal penerbit atau pencipta lagu. Perkara ini sedikit sebanyak membantu saya menghayati lagu Cinta Sejatiku.

“Apabila ada dua pengarah vokal membantu dan mengawal nyanyian saya, kerja-kerja rakaman dapat dilakukan dengan cepat. Malah, saya hanya mengambil masa empat jam untuk merakam suara,” katanya.

Jelas Azzam, lagu Cinta Sejatiku sangat besar untuk dirinya, apatah lagi ia mengisahkan bagaimana seorang lelaki berdepan rasa kecewa apabila ditinggalkan kekasih.

“Saya baru berusia 18 tahun dan tidak pernah mengalami pengalaman dikecewakan. Jadi, wujud sedikit tekanan untuk menghayati lagu ini. Namun apabila dibantu dua pengarah vokal, saya dapat melakukannya,” katanya.

Pemergian Azzam ke Jakarta selama tiga hari itu digunakan sebaik mungkin Studio 57, termasuk mengatur satu hari untuk penggambaran klip video.

“Penggambaran klip video ambil masa tidak sampai sehari pun. Pengarahnya, Dugan sa­ngat cekap dan pelakon wanita dalam klip video ini, Tia Faditya juga profesional,”katanya.

Kerja-kerja rakaman klip video dapat dilakukan dengan pantas kerana jalan raya waktu itu tidak terlalu sibuk. Mereka juga tidak banyak berpindah lokasi.

“Saya tidak ada masalah berlakon dengan Tia kerana pernah berlakon sebelum ini. Jadi sangat senang untuk mewujudkan kemesraan dengannya,” kata Azzam yang pernah membintangi filem 8 Jam dan kini drama bersiri lakonannya Destinasi G4 ditayangkan di TV9.

Bagaimanapun, ada aksi dilakukan bersama Tia dalam klip video Cinta Sejatiku dianggap berani dan jarang dipaparkan dalam klip video artis tempatan.

“Maksud saya, babak romantis yang saya dan Tia lakonkan dalam klip video, terutama sewaktu kami berada di belakang ‘pick-up’ trak. Begitupun, kerana masing-masing pernah berlakon dan profesional, ia dapat juga dijayakan dengan baik,” katanya.

Kata Azzam, sebagai artis baru yang sedang mencipta nama, dia akui apa yang diberikan Studio 57 (rakam single di Indonesia) adalah pengalaman yang sangat berharga.

“Saya sangat terharu mendapat peluang besar ini. Ada rakan seangkatan yang bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa pun tidak mengecapi kelebihan seperti apa yang saya peroleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:09 AM