Oleh Rudy Imran Shamsudin


Berkawan hampir lapan tahun, namun kisah cinta pelawak dan pengacara popular, Jihan Muse, 32, dan teman istimewanya yang juga pelakon kian mencipta nama, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 30, berjaya disembunyikan.

Dalam tempoh itu, tidak pernah Jihan atau Nuur Jihan Muse membicarakan perihal cinta mereka secara terbuka. Bagaimanapun, situasi itu mula berubah apabila Jihan dan Hariz dilihat sering menghadiri majlis anugerah bersama kebelakangan ini.

Bermula dengan Anugerah MeleTOP dan terbaru Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH2014), Ahad lalu, pasangan ini mula menjadi tumpuan.

Adakah apa yang dilakukan itu bermakna pasangan ini cuba memberitahu umum yang hubungan terjalin bakal diakhiri dengan pernikahan dalam waktu terdekat atau kehadiran mereka bersama di majlis anugerah untuk melihat maklum balas peminat?

Ditemui di majlis ABPBH2014, Jihan berkata, kehadirannya ditemani kekasih hati semata-mata untuk meraikan acara prestij itu tanpa ada niat terselindung.

“Ia tiada kena mengena dengan kami mahu berkahwin atau melihat maklum balas peminat. Sebelum ini pun saya muncul di beberapa majlis bersama Hariz,” katanya.

Jihan tidak menafikan, sebelum ini mereka jarang bercerita mengenai hubungan cinta kerana bimbang nanti disalah anggap oleh umum.

“Saya tidak mahu soal cinta lebih menonjol, apatah lagi Hariz tidak menggemarinya. Saya dan Hariz pendatang baru, kalau belum apa-apa sudah jaja cerita begitu, takut nanti orang meluat,” katanya.

Menyentuh soal kahwin, Jihan akui dalam melayari hubungan cinta, dia mahupun Hariz tidak pernah menetapkan tarikh atau waktu tertentu untuk mengikat mereka dengan pernikahan.

“Bukankah jodoh itu Allah yang tentukan. Saya tidak pernah meletakkan sasaran waktu bila kami harus bernikah. Pernah sebelum ini saya membuat perancangan akan bernikah pada usia 23 tahun, tetapi gagal.

“Kemudian saya sekali lagi membuat perancangan untuk bernikah pada usia 27 tahun, tetapi ia tetap tidak berlaku juga. Sekarang apabila usia melepasi 30 tahun, saya langsung tidak meletakkan sasaran.

“Kalau datang jodoh, saya terima dengan tangan terbuka, sama ada cepat mahupun lambat,” katanya.

Menyentuh soal kahwin, me­ngikut adat, tentu ia diletakkan kepada pihak lelaki. Bercinta dalam masa lapan tahun bukan tempoh singkat, tetapi mengapa tidak Hariz melamar Jihan? Adakah bimbang jika bernikah sekarang, populariti akan hilang?

Menjelaskan perkara itu, Hariz yang turut tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah P Ramlee 2015 berkata, dia mahupun Jihan tidak mahu terburu-buru, tambahan pula jadual kerja masing-masing terlalu ketat.

“Jihan sendiri terlalu sibuk. Jadualnya penuh hingga tahun depan. Jadi bagaimana kami boleh mengatur supaya majlis pernikahan dapat dilaksanakan. Pada saya, biar kami tumpukan perhatian pada kerjaya terlebih dulu. Kalau sampai masa dan tiba jodoh, kami tetap akan bernikah,” katanya.

Sementara itu, Hariz berkata, bukan hanya sekarang dia dan Jihan mahu bersikap terbuka membabitkan hubungan mereka, tetapi kesibukan kerja membataskan mereka dilihat bersama menghadiri majlis membabitkan seni.

“Kebetulan saya baru habis penggambaran filem Polis Evo dan drama Isteri Separuh Masa, membuatkan saya punya masa terluang menemani Jihan dan memberi sokongan terhadap Jihan yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Komedi Wanita Popular,” katanya.

Hariz turut menegaskan, sepanjang lapan tahun menjalin cinta dengan Jihan, mereka tidak pernah berdepan masalah. Walaupun sekarang ini Jihan yang juga pengacara Akademi Fantasia 2014 dan Gegar Vaganza dilihat jauh lebih popular berbanding dirinya.

“Itukan rezeki yang ditentukan. Apa juga pencapaian Jihan, saya tetap berasa bangga dan tumpang gembira. Lagipun, saya dan Jihan dalam bidang sama.

“Saya faham kerja Jihan dan begitulah sebaliknya. Jadi tidak ada perkara yang boleh dijadikan isu untuk kami berselisih faham,” katanya.

Lebih daripada itu, kata Hariz, memandangkan mereka bersama-sama bermula sebagai pelakon teater, tentu apabila masing-masing bergelar pelakon, kelebihan itu ada pada mereka.

“Sekarang Jihan adalah pengkritik terbaik saya dan begitu juga sebaliknya. Kami saling memberi kritikan membina supaya apa yang kami laksanakan menjadi lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:10 AM