SEORANG pekerja Palang Merah mengeluarkan bekalan perubatan dan bantuan dari sebuah pesawat di lapangan terbang Sanaa, kelmarin.

Aden: Serangan udara pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi dan pertempuran darat antara kumpulan bermusuhan di selatan Yaman, semalam menyebabkan lebih 20 orang maut.

Penduduk berkata, pejuang selatan menyerang hendap satu konvoi militan Houthi dan askar yang setia pada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh di utara Aden menyebabkan 15 anggota pemberontak maut.

Pertempuran tercetus di bandar ini apabila pejuang prokerajaan yang bersenjata pelancar bom tangan dan mesingan menyerang militan Houthi.

Lima militan Houthi dan dua pejuang prokerajaan dilaporkan terbunuh.

Di bandar Ataq, timur Aden 10 serangan udara dilancarkan terhadap sebuah pangkalan tentera yang menempatkan unit askar yang setia pada Ali.

Serangan itu memusnahkan tempat simpanan senjata dan menyebabkan bebola api besar menjulang ke udara.

Pesawat pejuang dari tentera pakatan Arab menyerang kedudukan militan Houthi dan pangkalan tentera di atas gunung di Aden.

Kempen serangan udara tentera pakatan Arab lebih dua minggu berjaya membantu tentera dan pejuang prokerajaan menghalang kemaraan militan Houthi.

Arab Saudi bimbang pemberontakan militan Houthi yang didakwa disokong Iran itu boleh merebak ke sempadannya.

Pertempuran yang semakin sengit di Aden menyebabkan bekalan makanan, elektrik dan air semakin berkurangan.

Sebuah pesawat pertubuhan Palang Merah Antarabangsa yang membawa bekalan perubatan berjaya mendarat di Sanaa, semalam.

Jurucakap Palang Merah, Marie Claire berkata, pesawat itu merupakan yang kedua mendarat di Sanaa selepas sebuah lagi pesawat berjaya mendarat, kelmarin. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:10 AM