Kaherah: Ikhwanul Muslimin mengutuk serangan di Semenanjung Sinai yang menyebabkan sekurang-kurangnya 33 anggota keselamatan maut Jumaat lalu.

Bagaimanapun, pertubuhan Islam itu berkata, insiden berkenaan berpunca daripada sikap Presiden
Abdel Fattah al-Sisi.

Dalam kenyataannya melalui e-mel, Ikhwanul Muslimin berkata, mereka mengucapkan takziah kepada waris anggota keselamatan yang maut dalam pembunuhan besar-besaran itu.

“Kami percaya menumpahkan darah rakyat Mesir adalah dilarang. Kami menganggap junta Mesir dan pemimpinnya bertanggungjawab atas kegagalan keselamatan, ekonomi dan sosial yang berlanjutan ini,” katanya.

Gerakan Islam itu menguasai Mesir selepas tokoh mereka, Dr Mohamed Morsi Isa al-Ayyat dilantik sebagai presiden sah pada 2012.

Bagaimanapun Abdel Fattah yang dilantik Mohamed Morsi sebagai menteri pertahanan mengkhianati kepercayaan itu dengan melancarkan kudeta.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:05 AM