PRESIDEN Poroshenko (tengah) di sebuah pusat mengundi di Kramatorsk, Donetsk, semalam.

Kiev: Rakyat Ukraine semalam mengundi dalam pilihan raya Parlimen yang dijangka menyokong dasar pembaharuan pro-Barat Presiden Petro Poroshenko dan menguji sokongan terhadap rancangannya berunding dengan pemberontak pro-Russia yang mengancam untuk berpisah dari negara itu.

Golongan pembaharuan dan nasionalis yang menyokong usaha membawa Ukraine keluar dari pengaruh Russia dijangka mendominasi pilihan raya berkenaan.

Pilihan raya mengejut itu diadakan lapan bulan selepas revolusi jalanan menggulingkan presiden yang disokong Moscow, Viktor Yanukovych hingga mencetuskan konflik dengan Russia dan krisis dalam hubungan antara Kremlin dan sekutu Barat Ukraine.

Perang dengan pemberontak pro-Russia di timur negara itu sehingga meragut 3,700 nyawa dan tindakan Russia menguasai Crimea di selatan Ukraine, membayangi pilihan raya berkenaan.

Pengundi di Crimea dan di kawasan dikuasai pemberontak seperti di wilayah Lugansk dan Donetsk, membabitkan lima juta daripada 36.5 juta pengundi, tidak dapat mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:05 AM