AKPK berusaha bantu beri kesedaran cara menguruskan hutang dihadapi sektor isi rumah Malaysia.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK) berjaya menyelesaikan 7,103 kes kredit pelanggannya dengan nilai RM290.8 juta setakat Februari lalu melalui Program Pengurusan Kredit (DMP), manakala 74,163 akaun aktif bernilai RM6.45 bilion dipantau dari semasa ke semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, AKPK merekodkan 321,530 pelanggan mendapatkan kaunseling pengurusan kredit setakat Februari lalu berbanding 309,663 keseluruhan pelanggan tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 125,330 orang dibantu melalui DMP AKPK bagi tempoh yang sama berbanding 121,495 orang pada 2014.

“Pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan AKPK tergolong daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kebanyakan kes, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang serta ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan pengurusan kewangan yang lemah membabitkan 22.6 peratus berbanding faktor lain seperti kegagalan dalam perniagaan (16.5 peratus) dan isu perbelanjaan perubatan tinggi (15.2 peratus).

“Terdapat juga peminjam bermasalah disebabkan faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, DMP juga banyak membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam menunaikan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup, sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar dan perampasan rumah.

Beliau berkata, pihaknya komited meningkatkan usaha dalam memberi pendidikan dan kesedaran mengenai cara menguruskan hutang serta isu berkaitan kewangan dihadapi sektor isi rumah Malaysia.

AKPK menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, kemahiran pengurusan asas kewangan dan kaunseling pengurusan kewangan secara percuma. Peminjam individu juga boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk menstruktur semula pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi atau baki tertunggak kad kredit yang diperoleh daripada penyedia kewangan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 9:17 AM