SEBAHAGIAN barang yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sepasang kekasih ditahan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dekat Sekolah Kebangsaan Bukit Marak, Binjai, 12.20 tengah malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-duanya berusia 43 dan 28 ditahan sepasukan anggota siasatan khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang melakukan rondaan.

"Anggota menemui suspek yang berada dalam kereta dalam keadaan mencurigakan dan sebaik memperkenalkan diri, suspek lelaki berusia 43 tahun yang memandu kereta itu cuba untuk lari.

"Dia bertindak agresif dengan mengundur kenderaan dan cuba merempuh anggota. Berikutan itu dua das tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta menyebabkan ia pancit.

"Tiada kejadian berbalas tembakan seperti yang digembar-gemburkan di laman sosial terutama Facebook," katanya di sini, hari ini.

Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai jenis barang termasuk wang tunai RM1,000, barang kemas dan serbuk dadah dan enam biji pil kemerahan yang disyaki dadah.

Mazlan berkata, suspek lelaki mempunyai 13 rekod jenayah lampau, manakala wanita tiada.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 395/397 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 11:34 AM