FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Peniaga yang mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tanpa daftar GST akan mula didakwa di mahkamah mulai minggu ini.

Perkara itu disahkan Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam pada sidang media GST bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad di sini, sebentar tadi.

Subromaniam berkata, pihaknya sudah melengkapkan 13 kertas siasatan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 33 (10)(b) iaitu peniaga yang tidak berdaftar GST tetapi mengenakan GST.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengganggarkan berapa kes yang akan berdepan pendakwaan namun, yakin akan ada kes yang dibawa ke mahkamah berdasarkan kesalahan serius yang dilakukan peniaga berkenaan.

"Kes berkenaan membabitkan premis restoran dan kedai runcit yang beroperasi di sekitar Lembah; Johor dan Perak dimana kesalahan dilakukan adalah mengenakan GST kepada pengguna biarpun tanpa daftar GST," katanya.

Katanya, mengikut Seksyen 96, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan jika sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan dikenakan penalti dua kali ganda amaun cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 1:27 PM