Oleh Shahrul Nizam Mohamad


Kuala Lipis: Seorang ahli perniagaan kerugian RM20,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang dan tukul, di Kampung Mentara Baru, Merapoh, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, tiga penyamun terbabit mengambil masa satu jam menyelongkar di dalam kedai runcit milik mangsa sebelum melarikan rokok, kad pra bayar, wang tunai dan barang kemas milik isteri mangsa mengakibatkan jumlah kerugian RM20,000.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan awal mendapati, tiga penyamun terbabit menceroboh masuk ke dalam premis mangsa selepas mengumpil tingkap dapur.

"Suspek mengejutkan mangsa dan isteri masing-masing berusia 30 tahun dengan menggunakan parang serta tukul sebelum mengikat pasangan berkenaan menggunakan tali," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa tidak berani melawan selepas seorang daripada penyamun itu mengugut untuk mencederakan mereka.

Katanya, tiga penyamun terbabit melarikan diri dengan menaiki kenderaan sebelum mangsa bersama isteri dapat membuka ikatan dan membuat laporan di Balai Polis Merapoh, kira-kira 4 pagi tadi.

Abdul Razak berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 1:30 PM