Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Polis menahan tiga remaja berusia 15 hingga 20 tahun bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang lelaki di Pantai Beringgis, Kinarut, Papar, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehudin Abdul Rahman berkata, penahanan ketiga-tiga suspek dilakukan pada 9 dan 10 April lalu di dua lokasi berasingan di Tanjung Aru dan Kinarut.

"Suspek utama remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan di Kinarut, dipercayai melakukan pembunuhan terbabit.

"Setakat ini pembunuhan dipercayai bermotifkan samun dan dilakukan di dalam kenderaan milik mangsa di lokasi kejadian.

"Turut dirampas wang tunai milik mangsa bernilai RM400 dan pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut.

"Selain itu, kereta pacuan empat roda Toyota Hilux milik mangsa turut ditemui di hadapan klinik di Kinarut, kira-kira 9.1 kilometer dari lokasi kejadian," katanya dalam sidang media, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 1:37 PM