PRASET (kiri) bersama juara Kategori XC Metro Master, Supian Nor (tengah) dan tempat ketiga, Nor Affendi.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Nibong Tebal: “Kami hampir hilang semangat apabila tiga ahli pasukan menarik diri kerana mengalami kecederaan dalam pertandingan basikal bukit yang diadakan di Langkawi, baru-baru ini.”

Demikian luahan Praset Chitmart, 46, selepas muncul naib juara kategori XC Metro Master pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal di sini, kelmarin.

Chitmart berkata, pada mulanya tujuh ahli pasukan Chiru Endurance Thailand bersetuju menyertai kejohanan itu, namun tiga mengalami kecederaan pada Langkawi International Mountain Bike Challenge (LIMBC) dari 13 hingga 18 Oktober lalu.

“Walaupun selepas seminggu, kecederaan mereka belum menunjukkan tanda pulih sepenuhnya.

“Mereka menasihati kami supaya meneruskan perjuangan dan inilah hikmahnya kerana kami berjaya berada dalam tiga kedudukan terbaik bagi beberapa kategori.

“Ini kali pertama saya bertanding di Pulau Pinang dan ia berbaloi. Sebelum ini, kami menaiki kereta api selama 12 jam dari stesen Bangkok ke Sungai Golok, Rantau Panjang pada pagi Jumaat lalu, sebelum menaiki van ke lokasi kejohanan,” katanya.

Perlumbaan kategori XC Metro Master dimenangi pelumba Corbusier Poerbar, Supian Nor manakala tempat ketiga dimenangi Nor Effandy Rosli dari DBKL.

Selain pencapaian Chitmart, Chiru Endurance Thailand turut mendapat tempat pertama kategori XC Metro (Wanita) menerusi Supuksorn Nuntana dan tempat ketiga XC Metro Lelaki Elit menerusi Seree Ruang Siri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:08 AM