Kuala Lumpur: Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd (Wasiyyah Shoppe) memperkenalkan produk terbarunya, At-Tijarah yang disasarkan untuk membantu usahawan beragama Islam mewariskan saham dan perniagaan mereka kepada waris yang mereka kehendaki menggunakan Kaedah Syarak.

Pengasas yang juga penasihatnya, Ariffin Sabirin berkata, ramai usahawan Islam di Malaysia tidak menyedari bahawa apabila mereka meninggal dunia, saham syarikat yang mereka miliki dianggap sebagai harta pusaka dan ini menyebabkan semua waris berhak menuntut bahagian masing-masing mengikut hukum faraid.

Beliau berkata, antara masalah yang biasa berlaku kepada pewaris saham perniagaan ialah bukan semua waris yang berhak mengikut hukum faraid mempunyai kemahiran dan pengetahuan menguruskan perniagaan.

“Pemilik perniagaan atau usahawan ini mungkin ada melatih seorang atau dua warisnya sebagai penyambung legasi perniagaannya tetapi apabila dia meninggal dunia, waris lain juga berhak menuntut saham dan menentukan masa depan syarikat.

“Pelbagai masalah mulai timbul apabila wujud perbalahan di kalangan waris yang mana lebih berhak ke atas syarikat dan akhirnya jika tiada penyelesaian dicapai antara waris ini, ia boleh membawa kepada penutupan operasi syarikat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ariffin berkata, pengalaman Wasiyyah Shoppe sebagai pakar dalam perancangan dan pengurusan harta pusaka Islam, menunjukkan ramai usahawan Islam mahu perniagaan mereka beroperasi dengan lancar selepas mereka meninggal dunia dan terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Katanya, sebagai sebuah syarikat Bumiputera berprestasi tinggi yang tersenarai di dalam Program Teras TERAJU Jabatan Perdana Menteri, pihaknya berjaya menyelesaikan pewarisan perniagaan sebuah syarikat yang menggunakan produk At-Tijarah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:19 AM