BOMBA mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Bintulu: Pemandu dan kelindan lori maut apabila lori dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas dalam gaung sedalam kira-kira dua meter dalam kejadian di KM28 Jalan Persisiran Samalaju, di sini, malam tadi.

Mangsa, Andrew Marupoh Rawing, 21, dan Mathew Jangkang, 25, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan tersepit dalam lori.

Lori yang membawa muatan baja itu dipercayai dalam perjalanan dari Samalaju ke Bintulu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.03 malam.

Katanya, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Samalaju bergegas ke lokasi kejadian.

"Bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dan membawa mereka naik ke tebing jalan.

"Operasi tamat pada 1 pagi dan mayat diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Bintulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:49 AM