PENGALAMAN membantu ibu ketika kecil beri kekuatan kepada Zarina meneruskan perniagaan.
ZARINA melayan pelanggan yang berkunjung ke gerai Nasi Lemak Kampung Pandan.
SAMBAL istimewa yang mengambil masa tiga jam untuk dimasak.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Pengalaman bangun seawal jam 6 pagi setiap hari membantu ibunda tercinta menyiapkan ramuan nasi lemak istimewa warisan keluarga membuatkan wanita cekal ini berjaya meneruskan empayar perniagaan Nasi Lemak Kampung Pandan sehingga kini.

Usia kanak-kanaknya banyak dihabiskan dengan membantu ibu di dapur bukan saja menyediakan ramuan untuk memasak nasi lemak malah dia bersama adik-beradiknya turut berseng­kang mata membuat kuih-muih bagi mendapatkan wang menyara kehidupan ketika itu.

Menceritakan pengalaman berharga itu, Zarina Ab Hamid, 34, yang juga anak kesembilan daripada 12 beradik berkata, ibunya Zainab Jahari, 70, mula menjual nasi lemak sejak 36 tahun lalu selain kuih-muih dan hidangan lain.

“Masih segar di ingatan, saya dan adik-beradik perlu bangun awal pagi untuk membantu ibu menyediakan sambal nasi lemak dan buat pelbagai jenis kuih setiap hari.

“Pada ketika itu pastinya kami adik-beradik berasa sedih kerana perlu menghabiskan waktu kanak-kanak di dapur, namun pengalaman itu sebenarnya amat berharga kerana kini saya mampu tersenyum bangga dengan perniagaan nasi lemak,” ujarnya sambil mengukir senyuman.

Menurut Zarina, bukan saja perlu bangun awal pagi malah dia bersama adiknya juga pernah menjual nasi lemak dengan harga 30 sen sebungkus dari rumah ke rumah selepas balik dari sekolah.

“Lama-kelamaan kami faham kepayahan ibu. Jadi saya dan adik tidak keberatan untuk menjaja nasi lemak malah semakin bersemangat menjual hasil usaha kami sekeluarga sehingga habis sebelum balik ke rumah. Rasa puas apabila menyerahkan wang jualan kepada ibu.

“Setiap pagi ibu akan menjual nasi lemak di jalan susur Kampung Pandan dan bertahan di situ selama lebih 20 tahun sebelum berpindah di No 21, Pusat Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Wirawati, Taman Maluri, Kuala Lumpur hingga kini,” ujarnya.

Rahsia keenakan

Kata Zarina, untuk menyediakan sambal yang enak, cili perlu dimasak terlebih dulu sehingga pecah minyak. Selepas itu masukkan ikan bilis yang digoreng rangup bersama bawang besar. Apabila sambal hampir masak, barulah masukkan kelapa kisar. Paling penting, garam mestilah secukup rasa.

“Biarkan sekejap kemudian baru dimasukkan air asam jawa dan keseluruhan proses memasak sambal ini mengambil masa selama tiga jam kerana sambal adalah kekuatan rasa nasi lemak kami berbanding yang lain.

“Kelapa kisar yang dicampurkan ke dalam sambal itu adalah rahsia keistimewaan nasi lemak kami kerana ia menambah rasa lemak pada sambal dan mengurangkan rasa pedas. Air asam yang dimasukkan pada pering­kat akhir bertujuan me­ngelakkan sambal daripada cepat basi,” kata Zarina yang mengambil alih perniagaan daripada ibunya yang kini berehat atas faktor kesihatan.

Jelasnya lagi, sambal nasi lemak itu dibuat pada malam sebelumnya dan dibiarkan sejuk terlebih dulu sebelum menutup periuk bagi mengelakkan daripada cepat basi.

“Seawal jam 6 pagi, saya dan adik-beradik sudah mula memasak nasi dan lauk-pauk yang lain seperti telur rebus, ikan bilis goreng, rendang ayam, rendang daging dan sambal paru.

“Dalam sehari saya menyediakan nasi lemak untuk 300 hidangan dan jumlah itu berganda pada Sabtu dan Ahad kerana pelanggan lebih ramai pada hujung minggu dan cuti sekolah.

“Kami juga menerima pelanggan dari Sungai Buluh, Bangi, Putrajaya dan Damansara selain pelanggan tetap dari Australia yang pasti akan singgah ke gerai ini setiap kali berkunjung ke Malaysia,” ujarnya.

Kepelbagaian pilihan tarik pelanggan

Selain terkenal dengan keenakan nasi lemak, Zarina berkata, kedainya juga mempunyai pelbagai jenis makanan seperti lontong kering yang dimakan bersama serunding kelapa, sambal tumis, sambal kelapa, mihun soto, dan beraneka jenis kuih termasuk karipap, kuih bom, cucur badak dan seri muka.

“Antara makanan yang digemari pelanggan ialah lontong, biasanya ia habis seawal jam 10 atau 11 pagi. Selain mementingkan keenakan dan kebersihan, kami menawarkan makanan pada harga yang berpatutan.

Zarina berkata, semua makanan di gerainya dipastikan berada dalam kualiti terbaik selain mementingkan tahap kebersihan bukan saja pada makanan malah gerai dan pekerja.

“Saya akan pastikan keadaan gerai sentiasa bersih dan tersusun kerana ia mampu menarik minat pelanggan untuk datang menjamu selera di gerai kami,” katanya.

Menyambung legasi ibu, Zarina adik-beradik saling bersepakat memajukan perniagaan mereka itu. Mereka mahu ibu berehat di rumah dan tidak perlu lagi memasak.

“Ibu suka memasak dan dunia masakan sudah sebati dalam hidupnya. Sesekali ibu datang ke gerai untuk melihat operasi perniagaan kami selain turun ke dapur di rumah meninjau kami memasak terutama dalam penyediaan sambal,” ujarnya.

Sebagai anak pastinya mereka gembira melihat senyuman yang sering kali terukir di bibir ibunya kerana perniagaan hasil usahanya kini membuahkan hasil lumayan dan diteruskan generasinya.

“Walaupun kadangkala berasa sedikit penat, saya puas dan gembira mengendalikan perniagaan ini, ia bukan saja memberikan pulangan yang baik malah pada masa sama merapatkan hubungan kami adik-beradik kerana bersama-sama mengusahakannya.

“Kami turut bercadang membuka cawangan lain bagi mengembangkan lagi perniagaan Nasi Lemak Kampung Pandan di lokasi lain seluruh Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 12:56 PM