SEBAHAGIAN penduduk terpaksa tinggal dalam khemah.
SEBAHAGIAN penduduk terpaksa tinggal dalam khemah.
Oleh Norhayati Nordin


Bagi memantapkan lagi penyaluran berita disiarkan TV9, satu laporan khas #PulihkanHarapan disiarkan untuk tatapan penonton setiap hujung minggu mulai 4 April lalu.

Mengetengahkan kisah duka dilalui mangsa banjir di Kelantan pada tahun lalu, wartawan penyiaran berpengalaman dan juga penerbit berita TV9, Aminhayat Abd Rahim, 33, memikul tanggungjawab itu.

Amin ketika ditemui berkata, dia berkampung selama seminggu di kawasan terjejas banjir di Kelantan baru-baru ini dan mendapati keadaan penduduk cukup daif.

“Selepas banjir yang berlaku itu, mereka bukan saja kehilangan harta benda, tetapi paling memilukan ketiadaan tempat tinggal.

“Sepanjang saya berada di Kelantan bagi mendapat­kan pelbagai maklumat terkini untuk laporan khas dibuat, kebanyakan penduduk yang kehilangan kediaman itu kini tinggal di dalam khemah.

“Kehidupan mereka sangat daif dan nyata dugaan dihadapi melalui kejadian banjir yang berlaku amat besar impaknya,” katanya.

Menurut Amin, apa yang menjadi masalah atau isu utama kepada penduduk setempat ialah status tanah yang pernah mereka bina kediaman suatu ketika dulu.

“Daripada maklumat dikumpul kegagalan penduduk mendapatkan bantuan membina rumah disediakan kerana mereka tidak memiliki geran untuk tanah yang didiami itu.

“Ditambah, kami di TV9 juga ingin mendapatkan jawapan daripada dakwaan yang kononnya pihak berkenaan tidak pernah datang meninjau masalah penduduk,” katanya.

Amin berkata, biarpun sedih dan simpati melihat keadaan yang berlaku, sekurang-kurangnya #PulihkanHarapan mampu menjadi medan saluran penduduk meluahkan sebarang masalah.

“Apa yang pasti, paparan dimuatkan dalam #PulihkanHarapan berdasarkan fakta mengenai keadaan sebenar kawasan yang pernah dilanda banjir itu.

“Jadi, hadirnya saya di kawasan itu secara tidak langsung memberi peluang untuk mendekati penduduk setempat dan berkongsi permasalahan dialami mereka,” katanya.

Amin berkata, siri laporan khas yang akan menemui penonton berita TV9 sehing­ga Jun nanti itu turut menjengah beberapa kawasan banjir di negeri lain seperti Pahang, Terengganu dan Perak.

Bagaimanapun, Amin berkata, tinjauan laporan ke kawasan terpilih di negeri terbabit akan dilakukannya secara berperingkat me­ngikut perancangan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 10:44 AM