Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my


Animasi popular tempatan, BoBoiBoy mencatatkan jumlah sehingga 250 juta tontonan di platform video ‘online’, YouTube sekali gus menjadikannya antara saluran paling digemari di negara ini.

Lebih manis, ia kini animasi nombor satu di Indonesia yang tidak boleh dicapai mana-mana produksi Malaysia sebelum ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Monsta yang menghasilkan BoBoiboy, Nizam Razak, animasi yang mempunyai karakter seperti BoBoiBoy, Tok Abah, Yaya, Gopal, Ying, Adu Du, Probe, Papa Zola dan Ochobot itu mempunyai sekurang-kurangnya satu juta tontonan sehari.

“Selepas ini, kami menyasarkan negara seperti Vietnam selepas kejayaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei,” katanya.

Hasil kejayaan terbabit, BoBoiBoy satu-satunya animasi tempatan yang mempunyai zon tarikannya di Taman Tema Studio Filem Animasi (MAPS) yang bakal dibuka di Ipoh, Perak pada suku pertama tahun depan.

Nizam berkata, BoBoiBoy bakal mempunyai tiga tarikan utama serta satu kafe yang dinamakan Tok Aba Kokotiam.

“Kami juga bakal memperkenalkan BoBoiBoy 4D Ride yang menjadi tarikan utama untuk MAPS iaitu teknologi moden dalam taman tema,” katanya.

MAPS adalah taman tema animasi pertama di Asia Tenggara dengan konsep karakter animasi popular seperti Megamind, The Croods dan Casper the Friendly Ghost.

Sebanyak 40 ‘ride’, menara, pertunjukan kereta lasak secara langsung dan pertunjukan bakal menemui pelawat MAPS.

Taman tema dengan keluasan 21 hektar terbabit menyasarkan 1.4 juta pelancong tahun depan dengan 80 peratus daripadanya adalah pelancong tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 11:41 AM