OBLAK menghalang cubaan Bale. FOTO EPA
OBLAK menghalang cubaan Bale. FOTO EPA

Madrid: Saingan ke separuh akhir Liga Juara-Juara antara Atletico Madrid dan Real Madrid bertambah hangat selepas kedua-dua pasukan Sepanyol ini hanya mampu seri dalam perlawanan suku akhir petama di Vincente Calderon, awal pagi tadi.

Atletico bernasib baik penjaga gol Jan Oblak bermain cemerlang sekaligus menafikan beberapa peluang Real yang menguasai perlawanan terutamanya dalam babak pertama.

Asakan Real bermula seawal minit keempat apabila Gareth Bale mengambil kesempatan kesilapan Diego Godi namun gagal apabila menendang bola terlalu dekat dengan Oblak.

Oblak juga menyelamatkan sepakan percuma Cristiano Ronaldo sebelum menepis satu lagi rembatan Bale serta menghalang dua cubaan James Rodriguez.

Perlawanan menjadi semakin hangat apabila pertahanan Madrid, Dani Carvajal tidak dikenakan tindakan selepas menumbuk Mario Manduci dalam kawasan penalti pada separuh masa kedua.

Pengurus Real, Carlo Ancelotti menyesal pasukannya terlepas peluang untuk mendahului dalam babak pertama perlawanan.

“Prestasi kami cemerlang pada separuh masa pertama. Selepas itu, Atletico lebih mendesak dan prestasi kedua-dua pasukan lebih sama.

“Walaupun keputusannya bukan yang diingini, kami yakin dapat menang dalam perlawanan kedua nanti berdasarkan prestasi pada separuh masa pertama,” katanya.

Dengan kemenangan ini, Atletico meneruskan rekod tanpa kalah menentang Real buat kali ketujuh manakala Real gagal empat kali membolos gawang di Calderon.

Kedua-dua pasukan ini akan bertemu buat kali kelapan di Santiago Barnabeu pada 22 April nanti.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir pertama, Juventus menewaskan Monaco 1-0 hasil sepakan penalti pemain tengah Arturo Vidal pada separuh masa kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 12:01 PM