Abdul Farid (kanan) menunjukkan aplikasi perbankan digital yang diperkenalkan, semalam.
Abdul Farid (kanan) menunjukkan aplikasi perbankan digital yang diperkenalkan, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Maybank Berhad (Maybank) menjangkakan pengenalan dua aplikasi perbankan digital terbaru iaitu Maybank Treats dan Maybank Property Finders mampu mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan itu dalam perbankan digital dengan sasaran 50,000 muat turun bagi setiap aplikasi terbabit dalam tempoh lapan bulan akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias berkata, kedua-dua aplikasi itu membolehkan pelanggan menikmati penyelesaian perbankan digital yang mudah dan mesra pengguna serta sesuai dengan gaya hidup masa kini melalui pelbagai platform telefon pintar termasuk iOS dan Android.

“Kami merancang meluaskan penggunaan aplikasi di pasaran utama Maybank lain seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina menjelang akhir tahun ini,” katanya selepas pelancaran Maybank Treats dan Maybank Property Finders di sini, semalam.

Sebelum ini, Maybank melancarkan aplikasi Maybank2U (M2u) yang dipertingkatkan pada tahun lalu di mana ia menyaksikan satu juta muat turun dicatatkan sejak diperkenalkan manakala pelancaran aplikasi terbaru iaitu Quick Balance menarik pendaftaran lebih daripada 80,000.

Beliau berkata, penyelidikan menunjukkan pelanggan perbankan digital di Asia dijangka berkembang daripada 670 juta pada 2012 kepada 1.7 bilion pada 2020 di mana kira-kira 40 peratus berminat kepada perbankan dalam talian dan mudah alih serta lebih separuh individu berusia kurang 40 tahun lebih gemar menggunakan perbankan digital.

“Untuk aplikasi mudah alih M2u yang diperkenalkan pada 2011, lebih 1.7 juta pengguna melakukan 12 juta transaksi setiap bulan di mana ia membuktikan sistem kami stabil dan boleh mengendali volum yang besar,” katanya.

Aplikasi Maybank Treats menyediakan maklumat mengenai promosi dan tawaran terkini di kawasan sekitar pelanggan tanpa perlu merujuk kepada katalog di mana ia direka khusus untuk pasaran serantau dengan pemegang kad Maybank yang tinggal atau melawat ke Malaysia, Singapura, Indonesia atau Filipina turut boleh memanfaatkan tawaran Maybank Treats.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:15 AM