MOCHAMAD menampar anggota polis terbabit.
MOCHAMAD menampar anggota polis terbabit.

Bandung: Ketua Polis Daerah Jawa Barat Inspektor Jeneral Mochamad Iriawan semalam menampar seorang anggotanya atas alasan tidak menjaga kebersihan sebuah kenderaan yang akan digunakan untuk Persidangan Asia Afrika ke-60 pada 24 April ini.

Kejadian berlaku apabila Mochamad memeriksa persiapan anggotanya menjelang persidangan berkenaan.

Kira-kira 4,510 anggota keselamatan dikerah menjaga keamanan sepanjang persidangan itu berlangsung di Gedung Merdeka pada tarikh itu.

Mochamad yang disertai pegawai kanan polis Jawa Barat yang lain memeriksa satu persatu persiapan anggotanya, termasuk kenderaan yang akan digunakan.

Bagaimanapun, apabila tiba pada sebuah kenderaan, dia menjadi berang melihatnya dalam keadaan kotor.

Seorang daripada dua anggota yang bertanggungjawab ke atas kenderaan itu diarah melakukan tekan tubi. Tidak puas dengan hukuman itu, Mochamad menampar seorang lagi.

“Saya kecewa kerana kenderaan ini kotor. Ada sampah dalam kereta. Ada botol air mineral dalam kereta. Suruh jaga kebersihan kereta pun sudah tidak mampu,” katanya selepas menampar anggota berkenaan.

Seramai 109 negara akan menghantar wakil mereka, termasuk presiden dan perdana menteri ke persidangan berkenaan.

Wakil dari 25 pertubuhan antarabangsa juga dijangka hadir. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 9:20 AM