TEH Safura Azhar mengambil gambar kenangan bersama Vin Diesel.
PERSEMBAHAN Kaka bersama Sleeq.
Oleh Michelle Gun


Stesen televisyen TV9 sudah menjangkau usia sembilan tahun dalam industri penyiaran tanah air. Sempena ulang tahun itu, stesen televisyen berkenaan menganjurkan majlis makan malam istimewa di sebuah hotel terkemuka di Kota Damansara, malam kelmarin.

Majlis yang dihadiri selebriti, kakitangan Media Prima Berhad dan media itu turut memperkenalkan program baru hebat yang bakal ditayangkan di TV9.

Acara dimeriahkan dengan persembahan Kaka Azraff yang menyampaikan lagu tema drama baru Dunia Generasi Baru iaitu Bukan Hal Aku dan Terpulanglah. Sleeq turut menghiburkan penonton dengan single baru berjudul #1.

Menampilkan Hani Hatim dan Muadz selaku pengacara, majlis turut menyaksikan sesi memperkenalkan barisan program yang mengisi slot waktu 8.30 malam TV9.

Antara drama hebat yang disusun bagi tatapan penonton adalah Dunia Generasi Baru, Rose Emilia dan Yang Mana Satu.

Penonton pasti terhibur ‘melayan’ program realiti Lari: Misi Mr X yang kini disiarkan pada setiap Khamis, jam 9.30 malam serta Ke Indonesia Ke Kita bermula Julai ini.

Slot #Kelakarama pada setiap Rabu turut mengetengahkan drama Anak Ke-5 dan komedi Projek M.E.J.A.

Manakala program menarik yang baru ditayangkan adalah Ayuni Safrina dan Hip TV.

Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, sejak ditubuhkan pada 2006, TV9 sentiasa menawarkan program hebat dan berkualiti yang mensasarkan golongan belia Melayu.

“Antara program berkenaan seperti Keluarga Di 9, Akademi Al-Quran, Idola Kecil, Versus, Galaksi, Hip TV, Nasi Lemak Kopi O, Ratu serta Mutiara hati. Usaha ini bagi memperkukuhkan lagi TV9 sebagai stesen televisyen nombor satu negara.

“Kini slot baru #Kelakarama turut diperkenalkan dan tidak ketinggalan juga siaran perlawanan bola sepak Piala AFC, Piala FA dan Liga Super Malaysia,” katanya.

Menurutnya, stesen televisyen itu melakukan perubahan waktu siaran pada Mac lalu bagi memberi laluan kepada Piala AFC dan Liga Super.

“Pembahagian slot ini sekali gus memantapkan lagi penampilan stesen ini dalam menyediakan program hiburan dan sukan yang lebih segar serta berkualiti,” katanya.

Sherina berkata, slot 9X menerima sambutan kerana memaparkan program eksperimental bagi remaja.

“Dua program baru yang mengisi slot itu adalah Lari: Misi Mr X yang sudah bersiaran sejak 9 April lalu dan juga sekuel ‘gameshow’ Ke Korea Kita iaitu Ke Indonesia Ke Kita pada Julai depan,” katanya.

Kejutan bagi penonton

Bagi menghangatkan lagi sambutan ulang tahun TV9, stesen televisyen itu turut menawarkan hadiah lumayan kepada penonton setia.

Menerusi kerjasama dengan produksi filem Fast & Furious 7, TV9 membawa pemenang bertuah peraduan program Nasi Lemak Kopi O (NLKO) ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk menyaksikan tayangan perdana filem itu pada 31 Mac lalu.

Teh Safura Azhar dinobatkan sebagai pemenang peraduan NLKO selepas video parodi dan gambar paling kreatif berkaitan program itu dimuat naik ke YouTube dan Instagram.

Istimewanya, Safura turut berpeluang menonton filem itu bersama barisan bintang Fast & Furious 7 iaitu Vin Diesel, Nathalie Emmanuel, Jason Statham, Dwayne Johnson, Tyrese Gibson serta pengarah James Wan.

Selain itu, TV9 bakal memberi kejutan kepada pengikut pada minggu depan menerusi #TV9Tahun di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 10:16 AM