Antara suspek yang ditahan. FOTO ihsan PDRM
Antara suspek yang ditahan. FOTO ihsan PDRM
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Lima lelaki Nigeria dan dua wanita dari Thailand dan Filipina ditahan selepas terbabit dalam kegiatan penipuan di dua apartmen di Taman Sentosa, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek berusia 27 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 1 pagi selepas polis menerima laporan mengenai penipuan yang dilakukan mereka daripada dua mangsa warga tempatan.

Katanya, sindiket pertama memperdayakan seorang lelaki berusia 41 tahun untuk memasukkan wang berjumlah RM20,000 sebagai bayaran cukai kastam bagi membolehkan barangan berharga seperti komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM305,000 diperolehnya.

“Sindiket kedua pula menipu seorang wanita berusia 51 tahun supaya memasukkan wang tunai RM1,250 bagi bayaran untuk mendapatkan pelbagai ubatan yang didakwa dijual suspek.

"Selepas kedua-dua mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun milik wanita tempatan, barang yang dijanjikan tidak diperoleh sebelum mereka membuat laporan polis.

"Suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 2:51 PM