Reuters

London: Februari lalu, Jose Mourinho (kiri) tampil mempertahankan Louis van Gaal (kanan), bersimpati dan menyatakan beliau patut diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris, namun beliau sendiri kini terkejut dengan peningkatan ketara mentornya itu.

Ketika itu, Manchester United kendalian Van Gaal tidak memuaskan hati sesiapa, hambar dan bergelut, namun rentetan enam kemenangan menyaksikan mereka hadir di kubu Chelsea, Stamford Bridge awal pagi Ahad ini dengan Van Gaal sedia mengalahkan anak muridnya buat kali pertama.

Sekiranya Van Gaal mampu mencetus kekalahan ketiga Chelsea dalam liga musim ini dan melonjak lima mata berbanding pendahulu itu, sekalipun beraksi lebih satu perlawanan berbanding kelab London itu, ia mungkin mampu membuka semula perebutan kejuaraan yang dikuasai Chelsea selama ini.

Terutamanya kerana Arsenal, kini tujuh mata di belakang Chelsea namun tidak bermain hujung minggu ini bagi menumpukan usaha mempertahankan Piala FA, akan bertemu pendahulu itu hujung minggu depan.

Ia juga mungkin permulaan bagi minggu yang menentukan kejuaraan kerana jika Chelsea menang kedua-dua perlawanan, mereka secara efektifnya boleh meraikan kejuaraan pertama sejak 2010.

Van Gaal bagaimanapun mungkin ada idea lain. Pengendali dari Belanda itu, yang memberikan Mourinho peluang pertamanya ketika beliau menjadi jurulatih Barcelona malah yakin dengan pembantu mudanya itu hinggakan Mourinho sering mengendalikan latihan dan memberi taklimat pasukan, masih belum mengalahkan anak didiknya itu.

Inter Milan kendalian Mourinho menundukkan Bayern Munich kendalian Van Gaal 2-0 pada final Liga Juara-Juara 2010 dan apabila mereka bertemu di Old Trafford Oktober lalu, hanya gol lewat Robin van Persie membantu United seri 1-1 pada perlawanan yang patut dimenangi Chelsea.

Berikutan kekalahan memalukan 2-4 di tangan United, Manchester City, juara bertahan yang semakin merudum tidak boleh menyalahkan diri sendiri ketika mereka berusaha mengekalkan tangga keempat dengan kujnjungan ke West Ham, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:54 AM