Oleh Nor Akmar Samudin


Program bulanan dalam bahasa Melayu, HBO Sentral yang memberi penonton panduan siaran hiburan terkini di semua saluran HBO kini memasuki musim kedua dengan menampilkan Nabil Ahmad sebagai hos baru.

HBO Sentral musim pertama menyaksikan penampilan Lisa Surihani. Program ini adalah kerjasama antara HBO Asia dengan Astro. Penonton akan mula melihat kelibat Nabil dalam program itu mulai 26 April ini, jam 3 petang di HBO / HBO HD (Astro Saluran 411 / 431).

Selaras dengan komitmen HBO Asia untuk membawa kandungan tempatan ke Malaysia, HBO Sentral dalam bahasa Melayu disediakan secara eksklusif untuk penonton di negara ini sambil mengikut petunjuk versi serantau program ini iaitu HBO Central.

Melalui panduan ini, penonton di Malaysia diberi sekilas pandangan ke kandungan di semua saluran HBO setiap bulan termasuk produksi HBO Original pemenang anugerah dan blockbuster Hollywood terbaru.

Ketua Jualan dan Pemasaran Affiliate di HBO Asia, Jacelyn Kek berkata, pemilihan Nabil dibuat kerana berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang pelawak ‘stand up’ bahasa Melayu paling popular.

“Kejayaan yang dicapainya berjaya mengangkat dirinya menjadi hos pelbagai program televisyen. Dia juga pelakon drama dan filem. Lantaran itu, kami berasakan Nabil amat sesuai untuk mengambil alih tempat Lisa,” katanya.

Berkenaan program itu sendiri, jelas Jacelyn, langkah HBO tahun lepas memasukkan HBO SENTRAL setempat mendapat sambutan hangat penonton di Malaysia.

“HBO Sentral akan terus memaklumkan kandungan terkini di HBO dalam cara yang menyeronokkan dan interaktif. Kami gembira dapat bekerja dengan HBO Asia sekali lagi dalam menyampaikan musim kedua program itu yang menampilkan bintang Malaysia yang paling mesra dan lucu. Kami yakin Nabil dapat menawan penonton HBO Sentral,” katanya.

HBO Sentral sebahagian daripada portfolio tawaran setempat HBO Asia yang merangkumi pilihan audio dan sarikata dwibahasa. Baru-baru ini, HBO Asia mengumumkan ‘simulcast’ (tayangan serentak) program HBO Original dengan Amerika Syarikat (AS) agar penonton di Malaysia boleh menonton HBO dan Cinemax Original pada masa sama seperti penonton di AS.

‘Simulcast’ ini bermula dengan tayangan perdana musim baru Game Of Thrones yang disiarkan 13 April lalu.

Bagi menghargai penonton, mereka boleh mengambil bahagian dalam pelbagai cara dengan tawaran hadiah menarik untuk dimenangi melalui peraduan yang akan dianjurkan pada setiap episod. Peminat digalakkan untuk mengguna #HBOSentral pada profil media sosial. Maklumat lanjut boleh didapati di www.astrocircle.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 12:25 PM