AZUA
AZUA
AZUA menimba pengalaman bersama penyelam di peringkat antarabangsa.
AZUA menimba pengalaman bersama penyelam di peringkat antarabangsa.
AZUA menunjukkan peserta cara menahan nafas.
AZUA menunjukkan peserta cara menahan nafas.
AZUA (kanan) bersama wakil media yang mengikuti latihan selam bebas.
AZUA (kanan) bersama wakil media yang mengikuti latihan selam bebas.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Menyelam di dalam lautan yang dipenuhi hidupan akuatik berwarna-warni dan unik semestinya menjadi pengalaman mengujakan buat sesiapa saja.

Sama ada menerusi selaman skuba menggunakan peralatan dipakai oleh penyelam, atau selaman menggunakan tiub pendek yang dipanggil snorkel, kedua-duanya memberi pengalaman berbeza.

Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui sebenarnya tanpa menggunakan alatan berkenaan manusia juga boleh menahan pernafasan untuk tempoh yang lama di dalam air dengan teknik yang betul.

Tidak seperti selam skuba yang menggunakan alat bekalan oksigen bagi membolehkan penyelam kekal bawah air untuk tempoh yang lama, selam bebas (freediving) adalah satu kaedah menyelam dalam air yang bergantung kepada keupayaan seseorang untuk menahan nafas cukup lama bagi menikmati pemandangan hidupan laut bawah air.

Mungkin bagi sesetengah orang, kaedah menyelam tanpa peralatan ini kedengaran menakutkan atau mustahil dilakukan, namun bagi Syafidatul Azua Shafii, 30, kaedah itu lebih kepada melatih fungsi badan mengadaptasi keadaan tiada udara atau istilahnya ‘apnea’.

Lebih membanggakan apabila wanita berasal dari Muar, Johor ini turut memegang rekod dan pencapaian membanggakan dalam sukan air yang semakin mendapat tempat di negara ini.

Malah, figura yang selesa membahasakan dirinya sebagai Azua itu adalah jurulatih dan pengajar wanita bertauliah pertama negara bagi sukan selam bebas di negara ini di Scuba School International (SSI) Malaysia.

Anak sulung daripada lima beradik itu juga memegang jawatan sebagai Pegawai Jurulatih/Keselamatan dalam pertubuhan dunia dalam sukan selam bebas, (AIDA) Malaysia.

Bertubuh kecil molek sedikit pun tidak menghalang wanita berjiwa besar ini mencuba sukan yang dianggap mencabar itu dan menjadikannya sebagai kerjaya profesionalnya sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, bukan catatan rekod mahu dicapai semata-mata, tapi lebih menjurus kepada aspek penjagaan kesihatan.

“Sukan ini banyak menekankan aspek mengawal pernafasan di dalam air serta sentiasa bersikap tenang yang nyata mencorakkan disiplin kita baik di dalam air mahupun luar.

“Malah, fleksibiliti sukan ini yang tidak mengira umur atau susuk tubuh memboleh­kan stereotaip mengenainya dialih berdasarkan fakta rekod dunia kategori wanita dipegang oleh penyelam berusia 58 tahun dari Russia, Natalia Marci,” katanya ketika ditemui pada Sesi Pengenalan Selam Bebas kepada media di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sehingga kini, Azua memegang beberapa rekod dan terus mencabar dirinya melalui pel­bagai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Baru-baru ini saya memenangi tempat pertama dalam kategori wanita pada Cabaran Selam Bebas Andaman dan menewaskan pesaing dari Amerika Syarikat, Belanda, Hungary dan Ireland.

“Saya turut memecahkan lima rekod kebangsaan dalam pertandingan ini dan berharap dapat memecah lebih banyak rekod dalam pertandingan yang akan datang,” katanya.

Antara rekod dicapai wanita ini termasuk selam bebas pada kedalaman 40 meter (m), teknik selam bebas dilakukan hanya dengan bergantung pada tali semasa naik dan turun.

Dia turut memegang rekod kebangsaan 130m renang dalam air, dalam kolam dinamik dengan disiplin sirip yang mana penyelam bebas bergerak dalam kedudukan mendatar di bawah air.

Rekod peribadi Azua untuk masa paling lama adalah dapat menahan nafasnya selama lima minit.

Katanya, tempoh lima minit menahan nafas dalam air dapat dilakukannya pada kedudukan statik manakala jika ada pergerakan, dia boleh bertahan dalam air selama kira-kira dua minit.

Apa yang penting katanya, latihan berterusan amat diperlukan dalam sukan ini bagi membiasakan badan dalam keadaan berkenaan.

Mula berjinak dengan sukan menyelam skuba sejak 2009, Azua berkata, dia mengetahui mengenai selam bebas pada 2012 melalui seorang rakannya yang turut berkongsi minat sama dan ketika itu dia tidak teragak-agak untuk mengikuti kursus profesional selam bebas di Koh Tao, Thailand.

“Saya juga ke Bali untuk menyertai bengkel mengenai sukan itu dan di situ saya bertemu dengan beberapa jurulatih selam bebas ternama dunia termasuk penyelam bebas wanita pertama dunia. Saya belajar lebih banyak teknik selam bebas daripadanya.

“Sejak itu, bermulalah pembabitan saya dalam pertandingan untuk mencabar kemampuan diri dan alhamdulillah, saya berjaya mencipta beberapa rekod peribadi dan kebangsaan,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia ini turut berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat negara ini menyertai sukan menyelam terutama apabila Malaysia diiktiraf kerana mempunyai antara pasukan terbaik dalam selam bebas.

“Terdapat banyak kejohanan dunia setiap tahun kerana ini adalah sukan yang berdaya saing. Jadi saya berharap satu hari nanti kita boleh menghantar satu pasukan dan memecahkan lebih banyak rekod dan mungkin juga rekod dunia.

“Saya melihat sukan ini semakin meningkat dan saya berharap penyertaan lebih ramai penyelam bebas. Setakat ini saya melatih hampir 50 pelajar dan menerima maklum balas yang sangat baik sejak mula mengajar pada September lalu.

“Kebanyakan daripada mereka adalah penyelam skuba dan selebihnya mereka yang mahu mencuba sukan ini,” katanya.

Katanya, menyelam bebas sudah wujud sejak dulu lagi, tetapi hanya baru berkembang di negara ini sejak dua tahun lalu.

“Berbanding dengan negara Asia Tenggara, Malaysia sangat aktif dalam sukan ini. Industri ini besar di negara lain, tetapi ia kebanyakannya disokong oleh rakyat asing.

“Kini permintaan semakin positif dan kami melatih beberapa penyelam yang mungkin boleh menjadi kumpulan seterusnya sebagai jurulatih selam bebas,” katanya.

Selain itu, tidak seperti menyelam skuba, tiada peralatan pernafasan digunakan dan ia sekali gus membolehkan penyelam memberi pertolongan kecemasan dalam persekitaran bawah air.

Katanya, sangat penting menyelam bebas diamalkan dengan cara yang paling selamat, sama seperti menyelam skuba dan kaedah lain.

“Ia lebih kepada menggunakan teknik yang betul dan kami menggalakkan penyelam mendalami teknik ini melalui kursus yang betul,” katanya.

Menurutnya, kelebihan sukan ini tidak kurang hebatnya seperti sukan lain malah seperti diketahui umum berenang berupaya membakar kalori lebih banyak daripada berjogging.

Malah, sukan seperti ini digalakkan untuk wanita kerana sangat kurang impak kecederaan pada tubuh badan serta sesuai untuk mereka yang mengalami masalah lutut.

“Memandangkan kaedah menyelam bebas menggunakan sepenuhnya teknik pernafasan, ia mampu memberi ketenangan serta meningkatkan kapasiti paru-paru yang secara tidak langsung membolehkan kita mempraktikkan teknik itu untuk sukan yang lain.

“Selain itu, sukan air berkenaan mampu melatih otot dalaman badan dan cukup berguna dalam tempoh kecemasan di dalam air,” katanya.

Mengakhiri temu bual, Azua amat positif selam bebas yang semakin mendapat tempat di negara ini akan terus berkembang sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia dalam sukan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 2:16 PM