Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 52 individu warga China berusia 18 hingga 52 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan Macau Scam ditahan dalam beberapa siri serbuan di kondominium mewah di sekitar ibu kota, awal pagi tadi.

Serbuan bermula 6 petang semalam hingga 5 pagi itu diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, turut berjaya dirampas dalam siri serbuan itu adalah wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan mesin pencetak.

"Kesemua 26 lelaki dan 26 wanita yang ditahan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan sindiket penipuan Macau Scam.

"Ini adalah rampasan terbesar untuk tahun ini membabitkan nilai kerugian ratusan juta ringgit,"katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:07 PM