Maka bermulalah satu lagi perjalanan yang akan berakhir di Russia berikutan kehangatan Piala Dunia 2018 sudah mula dirasai. Golongan sukarelawan yang memegang jawatan dalam pelbagai jawatankuasa badan induk bola sepak dunia itu sudah boleh merancang percutian di Russia. Justeru, penat lelah mengendalikan bola sepak semuanya akan hilang.

Tetapi bola sepak kita tidak akan berada di negara itu kerana pasukan kebangsaan tidak akan layak selepas undian kelayakan baru-baru ini. Kelayakan pusingan kedua meletakkan pasukan negara dalam Kumpulan A bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste.

Kita pasti tidak akan layak kerana selepas pusingan kedua, pasukan gergasi bola sepak pula menanti kita di pusingan ketiga. Tetapi apa yang ada di tangan kita, biarlah dilaksanakan dengan terbaik. Marilah kita jadikan aksi di tanah air sendiri sebagai satu kubu. Satu kubu yang mana pasukan pelawat akan menerima impak psikologi hebat apabila bertemu kita.

Kita perlu memberi perhatian kepada dua aspek bola sepak, di dalam dan di luar padang. Sebelum ini, kolum ini pernah menyuarakan supaya skuad negara belajar cara bertahan sebagai individu dan satu pasukan. Sekiranya kita belajar corak pertahanan kental maka kita boleh turun ke padang dengan taktik defensif.

Beraksi di tempat sendiri, bermakna kita mencari ‘clean sheet’ atau tidak boleh dibolosi. Justeru, bagi keempat-empat perlawanan di negara kita, corak permainan selamat dengan taktik serang balas akan memberi kelebihan.

Ini kerana ketiga-tiga pasukan dari Timur Tengah akan hadir dengan misi mencari mata penuh. Disebabkan kedudukan ketiga-tiga pasukan dalam ranking antarabangsa lebih baik, maka menjadi tanggungjawab mereka untuk beraksi secara menyerang bagi mencari mata penuh. Sekiranya, pasukan UAE, Arab Saudi serta Palestin mengunjungi ke Malaysia mencari kedudukan seri maka ini satu kejayaan bagi kita.

Mengikut percaturan dan kekuatan ketiga-tiga pasukan ini, kita boleh menang sekurang-kurangnya dua perlawanan dan kalah satu bagi merangkul enam mata.

Pada pendapat saya pasukan UAE mempunyai senjata yang boleh memusnahkan kita. Beraksi secara berpasukan serta kehadiran perancang terbaik Asia, Omar Abdurrahman, agak sukar bagi kita untuk mengatasi mereka.

Aksi menentang Timor Leste menjadi dua perlawanan yang kita tak sanggup kalah, baik di padang lawan atau di gelanggang sendiri. Dua perlawanan yang kita mesti menang!

Sekiranya, pasukan negara tidak dapat merangkul enam mata ketika menentang Timor Leste, maka bola sepak profesional di Malaysia harus ‘bersara’. Keputusan perlawanan menentang Timor Leste ini ‘tidak boleh dirunding langsung’.

Matlamat kita sebelum ke UAE, Arab Saudi dan Palestin, harus mengumpul 12 mata.

Satu perjalanan sukar tetapi sekiranya kita membawa pulang satu mata daripada sembilan mata yang menjadi rebutan, ia sudah boleh dianggap satu pencapaian.

Berbekal jumlah 13 mata mungkin tidak mencukupi untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018 tetapi sedikit-sebanyak akan memulangkan prestasi bola sepak negara kerana dengan mata ini kelayakan ke Piala Asia 2019 pula menjadi sasaran.

Seperti yang kita sedia tahu, pasukan dari Timur Tengah tidak selesa beraksi di padang lembut dan lembap. Dan di negara kita cuaca boleh digunakan sebagai persiapan kekentalan kubu yang dimaksudkan itu. Cuaca menentukan keadaan padang manakala suhu memainkan peranan yang lain.

Sebagai satu negara, kita harus menggunakan apa saja untuk memberi kelebihan kepada pasukan bola sepak kebangsaan. Setiap taktik atau strategi harus dipergunakan dan sekiranya perlu, kita mencipta strategi baru.

Sementara itu, pemain bola sepak bertalian darah Malaysia disebutkan untuk membantu meningkatkan prestasi bola sepak. Di sini kita harus realistik kerana bakat yang beraksi dalam Liga Malaysia ini sederhana saja.

Kita masih lagi belum dapat lihat sesuatu yang istimewa daripada pemain ini, maka janganlah badan induk terlalu meletak harapan atas janji-janji ejen. Memang tiada jalan singkat bagi membangun serta memproses sukan bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:05 AM