Liverpool: Pengurus Everton, Roberto Martinez memberitahu pemainnya supaya bersedia menerima cabaran getir Burnley di Goodison Park, malam ini.

Toffees sudah meredakan kebimbangan mengenai turun divisyen akhir-akhir ini, namun Burnley masih berjuang mempertahankan status Liga Perdana.

Martinez yakin pasukan tangga kedua tercorot itu sebuah pasukan yang liat.

“Saya tidak fikir ada ‘kebimbangan’ mengenai turun divisyen bagi Burnley,” kata Martinez. “Ia satu kelebihan besar menentang pasukan lain yang mungkin tidak berada di zon penyingkiran.

“Ancaman terbesar dibawa Burnley adalah mereka bermain penuh ghairah dan keseronokan. Mereka melihat peluang untuk mencapai sasaran kekal di liga utama.

“Mereka membuktikannya pada perlawanan terakhir menentang Arsenal. Mereka hanya kalah satu gol, mereka seri dengan Spurs dan mengalahkan Manchester City, beberapa perlawanan terakhir di laman sendiri mereka amat kuat.

“Di gelanggang lawan, saya fikir mereka mampu mengancam mana-mana pasukan. Mereka tidak bernasib baik menentang Southampton apabila mempunyai tiga atau empat peluang terbuka.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:07 AM