Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Ketika ini harga jualan rumah di pasaran sukar untuk diandaikan memandangkan setiap tahun ia akan meningkat seperti tiada petanda harga aset penting itu akan menurun.

Namun, isu harga sudah dilihat tepu untuk dibincangkan memandangkan banyak faktor yang mendorong peningkatannya dan sering didengar adalah kenaikan kos bahan mentah, tanah atau kedudukan lokasinya.

Dalam masa sama, jika diperhatikan harga jualan rumah ketika ini seperti tidak padan dengan keluasan lantai ditawarkan oleh pemaju. Manakan tidak, ada antara rumah yang dijual di bawah RM500,000 dengan tawaran keluasan lantai di bawah 900 kaki persegi.

Adakah pada masa depan, harga kediaman yang ditawarkan semakin meningkat dan ruang untuk didiami semakin mengecil seperti bilik hotel?

Mengulas perkara ini, Presiden Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, ketika ini harga bagi kediaman tertakluk kepada pasaran iaitu pemaju dan keluasan rumah ditawarkan juga tiada penetapan yang khusus oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, bagi SPNB, rumah apartmen yang ditawarkan kepada pembeli dengan keluasan lantai antara 850 dan 900 kaki persegi dijual pada harga antara RM80,000 dan RM250,000 seunit bergantung kepada lokasi.

“Untuk mengawal keluasan rumah yang padan dengan nilai jualannya adalah amat sukar untuk dilakukan memandangkan banyak faktor mendorong peningkatan harga rumah terutama membabitkan nilai tanah itu sendiri.

“Tambahan, jika dilihat ketika ini kediaman yang kecil seperti studio, pejabat kecil rumah pejabat (SOHO) atau pejabat kecil dan serba guna (SoVo) semakin mendapat permintaan dalam kalangan pembeli itu sendiri kerana ia mencerminkan gaya hidup masa kini,” katanya.

Dr Kamarul berkata, pemilihan kediaman yang bersifat kecil dan mahal dalam kalangan golongan tertentu dilihat semakin menjadi trend terutama golongan muda.

“Jangan jadikan ia sebagai satu trend yang boleh menggalakkan lambakan rumah kecil dengan harga mahal kerana untuk individu bujang mungkin sesuai, tetapi bagaimana dengan golongan berkeluarga kerana ia tentu akan membebankan mereka.

“Tambahan, permintaan kediaman semakin tinggi juga menjadi sebab pembeli tiada pilihan untuk memiliki rumah bersaiz sesuai dengan kehidupan mereka,” katanya sambil menambah harga kediaman studio boleh menjadi asas kepada peningkatan harga kediaman dalam segmen lain dalam bangunan yang sama.

Beliau berkata, rumah seperti SOHO atau SoVo sebenarnya tidak sesuai untuk ditempatkan di kawasan kediaman kerana ia mempunyai konsep perniagaan yang mungkin boleh mengganggu privasi penghuni lain,” katanya.

Selain itu, peningkatan tawaran rumah studio juga akan meningkatkan peluang pelaburan kepada pelabur yang membeli bukan untuk mendiami aset berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:11 AM