LAWAK Ke Der 2015 perlihatkan bukan hanya pelawak popular mampu buat penonton ketawa.
Oleh Norhayati Nordin


Percaturan tepat dan mengena. Itulah komen keseluruhan boleh diberi untuk persembahan Lawak Ke Der 2015 (LKD 2015) yang membuka tirainya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Mempertaruhkan gabungan pelawak popular dan baru seperti Harith Iskander, Afdlin Shauki, Douglas Lim, Bocey, Reza Mukmin dan Sherry Alhadad diakui sangat menghiburkan.

Pentas persembahan dimulakan Sherry yang turut bertindak sebagai pengacara. Dia boleh dianggap sebagai antara artis komedi wanita berpotensi dan diminati ramai.

Muncul dengan gaya bersahaja dan menjadi diri sendiri, tirai yang dibuka Sherry dengan aksi menari di pentas sudah membuatkan penonton tidak sabar untuk menyaksikan persembahan komedi seterusnya.

Diambil alih pula pentas gah IB itu oleh pelawak popular di YouTube, Reza yang buat pertama kalinya muncul beraksi secara langsung meneruskan kesinambungan ‘pecah perut’ penonton ketawa.

Ternyata Sherry dan Reza berjaya membuktikan kepada pengarah dan penerbit, Hans Isaac mereka adalah pilihan tepat termasuk yang paling utama tentunya penonton.

Turut muncul dengan persembahan mencuit hati pastinya Bocey yang dianggotai Fad, Abam dan Achey. Memaparkan lawak masyarakat berkisar situasi penduduk kampung pada majlis perkahwinan, penonton bergelak sakan.

Satu-satunya pelawak Cina dipilih beraksi dalam LKD 2015, Douglas tampil dengan gaya persembahan santai. Muncul bersahaja, lawak Douglas juga menjadi kerana penonton tak kering gusi ketawa.

Mengetengahkan perihal isu semasa sebagai bahan lawak, LKD 2015 boleh diangap sudah berada pada liga tersendiri. Ia pastinya menjadi satu jenama persembahan lawak berprestij.

Kemunculan seterusnya, Afdlin menggamatkan lagi suasana hiburan rencah lawak dimuatkan dalam LKD 2015. Bersandarkan pengalaman, Afdlin dilihat cukup profesional.

Mengangkat tema fenomena telenovela di negara ini suatu ketika dulu, persembahan Afdlin nyata mengimbau semula minat masyarakat Malaysia terhadap drama rantaian dari negara Amerika Latin.

Bagi melengkapkan tirai persembahan pada malam pertama pementasan LKD 2015 itu, tentunya kelibat Harith dinanti-dinantikan penonton. Sebagai nama besar yang tidak asing di pentas komedi tempatan dan antarabangsa, Harith adalah ‘penghulunya’.

Meskipun agak selesa berlawak dalam bahasa Inggeris, Harith dilihat sangat bersungguh-sungguh. Apatah lagi, aksi dia yang menjadi pelengkap sketsa lawak dipersembahkan malam itu.

Ditemui pada sidang media diatur, Hans berkata, dia sangat berpuas hati dengan corak persembahan ditampilkan semua pelawak terbabit dan satu kejutan baginya.

“Saya tidak menyangka kemunculan awal Sherry sama sekali berjaya membuatkan penonton tidak putus ketawa. Pada hal, itu kemunculan pertamanya.

“Begitu juga dengan Reza. Siapa dia dalam industri komedi tanah air? Tidak ramai pun yang mengenali Reza kerana lawaknya sekadar dimuat naik dalam YouTube.

“Dia juga kosong tanpa pengalaman menghiburkan penonton dengan lawaknya di pentas besar dan hebat seperti IB. Namun, saya bangga dia mampu melakukan yang terbaik,” katanya.

Menurut Hans lagi, jadi jangan kata hanya pelawak popular saja mampu membuatkan penonton terhibur. Bakat komedi dimiliki seseorang sangat semula jadi.

“Bagi saya populariti adalah bonus yang datang kepada seseorang pelawak itu selepas dikenali ramai. Justeru, kini LKD 2015 juga menjadi pentas untuk bakat pelawak baru diketengahkan.

“Selain bakat komedi rakan saya seperti Harith, Afdlin dan Douglas yang sedia maklum sudah diketahui ramai, persembahan Bocey juga sangat mengagumkan.

“Bocey juga yang kali pertama beraksi di pentas IB ini cukup menyerlah dan tidak sedikit pun bergantung pada populariti mereka. Ternyata, mereka sangat berbakat,” katanya.

Berbaki beberapa persembahan, orang ramai yang berminat mahu menyaksikan LKD 2015 masih boleh mendapatkan tiket untuk menontonnya pada petang dan malam ini saja.

Menurut Hans lagi, persembahan penutup esok sudah ‘full house’ kerana ditempah syarikat korporat.

Katanya, penonton takkan rugi datang menyaksikan LKD 2015.

SHERRY BERANIKAN DIRI SAHUT CABARAN

Tak dinafikan dunia komedi tanah air dimonopoli bakat lelaki. Setakat ini, tidak ramai bakat komedi wanita yang berjaya meletakkan diri mereka sebaris golongan adam.

Boleh dikira bakat komedi wanita tempatan sedia ada seperti Jihan Muse, Didie Alias, Noorkhiriah, Ieda Moin, Enot dan beberapa orang lagi, kemunculan Sherry sangat tidak diduga.

Sherry atau nama sebenar Sharifah Mariam Syed Abdul Alhadad, 31, lebih dikenali sebagai pelakon dan pengacara. Namun, masih ada bakat terpendam lain dalam diri Sherry.

Dipelawa Hans untuk Sherry turut serta dalam LKD 2015, diakuinya peluang yang tidak pernah diduga kerana dia bukanlah pelawak.

“Sebaik Hans mempelawa saya selepas majlis sidang media LKD 2015 dan teater Baik Punya Cilok di IB yang ketika itu saya sebagai pengacara, memang agak terkejut juga.

“Saya akui pada mulanya agak takut juga untuk setuju menerima tawaran Hans itu memandangkan LKD 2015 bukanlah pentas persembahan lawak yang biasa. Saya bimbang tidak mampu melakukan.

“Lagi pun, bukan mudah untuk saya buat keputusan dan agak lama juga masa yang diambil. Namun, saya kuatkan diri untuk berani menyahut cabaran diberi,” katanya.

Banyak berbincang dengan penerbit dan pelawak yang terbabit dalam persembahan LKD 2015 ini, Sherry berkata, dia memupuk kenyakinan untuk jadi diri sendiri di atas pentas.

Katanya, walaupun dia tak mampu mengelak perasaan gementar di atas pentas tetapi Sherry nekad membuat yang terbaik. Ditambah, katanya rakan juga banyak membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:24 AM