Reuters

Madrid: Sevilla menyamakan kedudukan mata dengan Barcelona di puncak La Liga apabila mereka bangkit untuk menewaskan Villarreal, 2-1 di laman sendiri, manakala juara bertahan Atletico Madrid menang tipis 1-0 pada perlawanan penuh kekasaran di Getafe, awal pagi semalam.

Villarreal berasa sudah meraih tiga mata di Sanchez Pizjuan apabila Luciano Vietto melambungkan satu bola menakjubkan melepasi jangkauan penjaga gol Beto pada minit ke-79.

Bagaimanapun, ketika penyokong tuan rumah terus memberikan galakan, Sevilla bangkit menyamakan kedudukan menerusi Denis Suarez pada minit ke-88 dan pemain berasal dari Colombia, Carlos Bacca meraih gol kemenangan dengan menyempurnakan penalti pada masa kecederaan, yang diberikan apabila Giovani Dos Santos menjatuhkan Benoit Tremoulinas.

Sevilla menjuarai Liga Europa musim lalu dan sudah melakukan permulaan terbaik dalam kempen La Liga sekalipun belum pasti sama ada mampu mempertahankan prestasi itu dalam tempoh lebih lama untuk mencabar kejuaraan.

Musim lalu, Atletico muncul pasukan pertama selain Real Madrid atau Barca menjuarai liga sejak Valencia pada 2004 dan Real, juara Eropah, kelihatan berada pada prestasi mengagumkan.

“Kami tidak beraksi dengan bagus, tapi pasukan ini tetap berusaha secara maksimum. Mereka menjaringkan satu gol cantik, tapi kami tidak pernah berputus asa,” kata Bacca.

“Sevilla tetap sebuah pasukan yang amat bagus sekalipun hantaran terakhir kami kurang berkesan. Kami mungkin di tangga kedua (menerusi perbezaan gol), tapi jelas kami mampu bersaing.”

Selepas sembilan perlawanan, Barcelona yang tewas 1-3 kepada Real pada aksi ‘Clasico’ Sabtu lalu, dan Sevilla masing-masing meraih 22 mata ketika Real di tangga ketiga dengan 21 mata.

Atletico mengumpul 20 mata di tangga kelima selepas jaringan jarak dekat sebelum rehat babak pertama oleh penyerang Mario Mandzukic memastikan kemenangan di Getafe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 2:00 AM