IBU Cicik, Kordiya Kamaludin, 35, menjaganya ketika di Hospital Kuala Lumpur. FOTO fail NSTP
Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Walaupun sudah berikhtiar macam-macam, saya reda kerana Allah lebih sayangkan Cicik," kata Rosli Abdullah, bapa kepada Sarah Aini, 8, atau Cicik yang menderita kanser otak sejak dua bulan lalu.

Katanya, anak ketiga daripada lima beradik itu menghembuskan nafas terakhir, kira-kira 2 petang tadi di sisi ahli keluarga ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selepas tiba di rumah rakannya untuk berubat secara tradisional.

"Dia keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lalu untuk dapatkan rawatan alternatif. Semalam, kami ke Ipoh untuk berjumpa seorang ustaz untuk berubat. Tiba-tiba tengah malam dia sesak nafas dan saya bawa ke HRPB.

"Waktu itu saya reda apa juga takdir berlaku kepada Cicik dan Allah lebih sayangkan dia. Lebih kurang jam 2 lebih, dia pergi buat selama-lamanya," katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan penderitaan Cicik yang menghidap Brain Stem Glioma sejak pertengahan Februari lalu sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 April untuk rawatan lanjut. (http://hmtro.com/1IrYD1y)

Jenazah murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merbau Sempak, Sungai Buloh, pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:10 PM