PEMENANG acara silat pada majlis penutupan Kejohanan Silat Olahraga 5x5 Pahang di Kompleks Belia dan Sukan Negeri.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kontinjen Temerloh dinobat juara Kejohanan Silat Olahraga 5x5 Pahang di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, baru-baru ini.

Mereka meraih dua emas dan satu gangsa untuk mengatasi Pekan yang menduduki tempat kedua, satu emas manakala Rompin ketiga, dua perak.

Tiga kategori dipertandingkan pada Kejohanan Silat Olahraga 5x5 membabitkan putra dan puteri dewasa serta remaja campuran.

Pertandingan itu diadakan sempena Kejohanan Seni Mempertahankan Diri (SMD) peringkat negeri anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Pahang.

Sebanyak 10 pasukan mewakili daerah negeri itu bersaing membabitkan 180 pesilat. Juara akan mewakili Pahang pada Kejohanan Silat 5x5 Kebangsaan sempena Festival Putrajaya pada 22-25 Mei.

Jurulatih Temerloh Fazli Mansor berkata, kejayaan muncul juara kali kedua berturut-turut itu hasil kesungguhan, semangat tinggi dan disiplin mantap 18 pesilat terpilih mewakili daerah itu.

Katanya, semangat juang pesilat membolehkan mereka merangkul dua emas menerusi kategori putra dan puteri dewasa selain gangsa remaja campuran.

“Persiapan lebih sebulan selain dibantu pengalaman pesilat menjadi kelebihan kepada Temerloh muncul juara kali kedua berturut-turut selepas melakukannya di Raub tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA) Datuk Osman Nok berkata, tujuan utama kejohanan itu diadakan bagi mencungkil bakat baru di setiap daerah di Pahang.

“Pesilat berkualiti akan dipilih mengikuti program pembangunan sebelum mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Usaha ini penting bagi memastikan sukan silat di negeri ini tidak ketandusan barisan pelapis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 8:16 AM