SEBAHAGIAN graduan Cosmopoint kampus Sabah dan Sarawak pada majlis konvokesyen, baru-baru ini.

Seramai 526 graduan Kolej Cosmopoint dan Kolej Universiti Kuala Lumpur Metropolitan (KLMUC) kampus Sabah dan Sarawak menerima diploma masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Ke-19 di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Graduan terbabit ialah pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Sains Kesihatan, Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Diploma Kejuruteraan dan Diploma Teknologi Maklumat.

Ketua Pegawai Eksekutif Cosmopoint Sdn Bhd Mohamad Kamal Nawawi berkata, majlis itu adalah kali kedua tahun ini selepas 1,300 graduan kampus Semenanjung menerima diploma masing-masing pada 4 April lalu di Putrajaya.

“Sejajar dengan program dilaksanakan iaitu Diploma to Degree to Job (D2D2J) tahun ini, Cosmopoint yakin membimbing graduan memilih pekerjaan bersesuaian dengan bidang pengajian diceburi.

“Menerusi program ini, kita berharap ia membantu graduan mencari pekerjaan bersesuaian,” katanya.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Kumpulan Kolej Cosmopoint Izz Al Din Maslan.

Sementara itu, graduan Diploma Teknologi Maklumat, Ezra Simon Takom, 23, diiktiraf penerima Anugerah Bestari Cosmopoint.

Anak kelahiran Kopungit, Kota Kinabalu ini mengakui banyak menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran selain kerap meminta bantuan tenaga pengajar jika tidak memahami sesuatu subjek.

“Saya banyak memberi fokus dengan berpandukan nota, banyak bertanya dan berbincang bersama rakan.

“Kini, saya menyambung pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer,” katanya.

Bagi graduan Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Mohd Amri Luyuk, 32, pengajian ditawarkan selari dengan perkembangan semasa.

“Saya mendapat pekerjaan di sebuah hotel terkemuka di Sabah selepas disyorkan pentadbiran Cosmopoint.

“Kursus pengajian ini sesuai dengan permintaan pasaran dan mudah mendapat pekerjaan sebaik tamat belajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 10:48 AM