RODGERS
RODGERS
Reuters

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers mengakui pasukannya kurang mentaliti perlawanan besar selepas reputasi mereka tercalar dengan kekalahan 1-2 di tangan Aston Villa pada separuh akhir Piala FA Inggeris, kelmarin.

Juara tujuh kali pertandingan itu dikuasai di segenap bahagian oleh pasukan Aston Villa yang bergelut untuk mencari mata pada kempen Liga Perdana.

Ia kekalahan kedua pada separuh akhir buat Liverpool musim ini, selepas tersingkir daripada Piala Liga di tangan Chelsea pada awal kempen.

Berikutan penamat naib juara Liga Perdana tahun lalu selepas merudum di hujung saingan, Rodgers sedar pasukannya perlu mencari semula rentak kemenangan ketika berdepan tekanan hebat.

“Kami perlu tampil gagah dan berani untuk bermain lebih baik pada perlawanan besar kerana kami tidak bermain cukup bagus hari ini,” katanya selepas gol Christian Benteke dan Fabian Delph memadam gol pembukaan sumbangan Philippe Coutinho buat Liverpool.

“Kami tidak melakukannya hari ini. Mungkin suasana dan tekanan mengganggu kami sedikit hari ini, tapi ia boleh berlaku terhadap pemain muda.

“Kami tidak berjaya memenangi beberapa perlawanan besar dan ia perlu diperbaiki. Kami sebuah pasukan yang masih berkembang, tapi harapnya semua pengalaman ini membantu.”

Di kelab yang memenangi trofi adalah satu keperluan asas buat pengurus selama ini, Rodgers mungkin tidak perlu diingatkan mengenainya.

Kekalahan kelmarin bermakna beliau muncul pengurus pertama Liverpool sejak Phil Taylor pada 1950-an tidak memenangi sebarang trofi dalam tiga musim pertama mengendalikan kelab itu.

Sekiranya Liverpool gagal berakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana dan layak ke Liga Juara-Juara, kekurangan trofi mungkin menjadi penentu penilaian pemilik kelab itu terhadap Rodgers hujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:47 AM