mutakhir

Doktor termakan umpan 'pegawai SPRM'

Oleh Junaidi Ladjana

DOKTOR wanita kerugian RM43,000 akibat Macau Scam selepas ‘termakan umpan’ lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai polis.

Wanita berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM pada 8.13 pagi, 26 April lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak Azmir berkata, lelaki itu mengatakan mangsa membuat pindahan wang tujuh kali berjumlah RM530,000 dan terbabit dengan pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.

“Mangsa kemudian disambungkan dengan ‘Sarjan Fadly Abdullah’ daripada Bahagian Bukit Aman yang memberitahu mangsa ada waran tangkap dan waran untuk pembekuan aset.

“Bagaimanapun ‘sarjan’ itu mengatakan ada seorang ‘pegawai polis’ boleh membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah dengan syarat semua aset mangsa dipindahkan ke dalam akaun atas nama ‘Tay Guan’ secara online berjumlah RM4,000,” katanya di Beaufort, semalam.

Menurutnya, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan kemudian membuat transaksi wang ke dalam dua akaun berbeza secara berperingkat berjumlah RM43,000.

“Selepas membuat pembayaran, barulah mangsa sedar yang dirinya tertipu dan membuat laporan polis 4.26 petang kelmarin.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu,” katanya.

Azmir berkata, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk ke jabatan-jabatan yang berkaitan atau datang sendiri ke jabatan kerajaan yang dinyatakan bagi mendapatkan pengesahan.

“Polis, SPRM, mahkamah dan lain-lain badan penguatkuasa kerajaan Persekutuan atau negeri tidak akan berurusan melalui telefon atau teknologi maklumat (ICT).

“Tetapi akan berurusan dengan surat rasmi atau datang sendiri ke pejabat atau tempat tinggal saksi jika ingin memperolehi maklumat berkaitan,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 8:55am
d