Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Berilah apa saja watak jahat, semuanya mampu dilakonkan dengan berkesan serta memberi impak pada penonton.

Itulah kelebihan pelakon berpengalaman, Soffi Jikan yang sudah dua dekad berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

Hakikatnya, kata pemilik nama sebenar, Muhammad Soffi Jikan, dia juga ingin dikenali sebagai pelakon ‘versatile’ dan mampu melakonkan apa saja watak diserahkan.

“Terus terang, saya sering diberikan watak streotaip seperti watak gengster dalam filem sedang-kan bakat saya lebih daripada itu. Sebab itu, saya pernah membuat kenyataan ingin meninggalkan bidang lakonan kerana kecewa dengan layanan diberikan sebelum ini.

“Saya percaya, sampai masanya saya mengikis tanggapan orang yang saya hanya mampu memegang watak gengster dalam filem,” katanya.

Namun, kata Soffi, dia sukar untuk menolak tawaran berlakon dalam filem Rock Bro! garapan pengarah berkaliber Mamat Khalid yang mengetengahkan senario dan budaya muzik rock di layar perak.

Selain Soffi, filem sekuel ketiga Rock ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Khir Rahman, Hasnul Rahmat, Pekin Ibrahim, Azmi Black, Jihan Muse dan Kaka Azraff.

“Watak Zul Kapan dalam filem Rock turut melonjakkan nama saya sebagai pelakon. Justeru, hati saya terus terbuka apabila Mamat menghubungi saya lebih 10 kali untuk memujuk saya berlakon dalam sekuel akhir ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata Soffi, dia berusaha menampilkan kelainan dalam watak Zul Kapan dalam sekuel terakhir filem Rock itu.

“Kali ini Zul Kapan bukan membawa imej heavy metal sebaliknya dalam Rock Bro!, dia akan menonjolkan sisi feminin rock yang tidak dijangka penonton.

“Zul Kapan digambarkan sebagai seorang yang lembut, tetapi bukan pondan. Sebagai pelakon, saya bertanggungjawab untuk melahirkan sisi kelembutan seorang bintang rock menerusi watak berkenaan,” katanya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Gangster Rock Kasi Sengat dan genre aksi komedi Romeo Kota arahan Aaron Aziz.

Tampilkan kelainan dalam Darah Panas

Jika nak diikutkan dia masih melakonkan watak antagonis dalam filem genre aksi romantik, Darah Panas arahan Arjin Uppal terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd.

“Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini pun kerana ingin mengasah bakat lakonan di layar perak.

“Sebenarnya, penggambaran filem ini sudah lama berlangsung iaitu kira-kira tiga tahun lalu. Sebagai pelakon, pastinya kami tidak sabar untuk melihat hasilnya apabila menjengah pawagam tempatan pada 5 Jun nanti,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem itu, kata Soffi, dia diberi kepercayaan melakonkan watak Aloi yang juga orang suruhan kepada ketua kumpulan samseng yang diketuai Cicak.

“Saya pastikan watak Aloi ini tidak sama seperti watak jahat dilakonkan sebelum ini untuk mengelakkan orang bosan.

“Bukan saja menukar cara bercakap, watak Aloi juga lebih bertolak ansur dan tidak perlu bertarung dengan penjahat kerana dia hanya memberi arahan pada konco-konconya,” katanya.

Soffi berkata, sebagai pengarah baru, Arjin banyak berbincang dengannya untuk memberi yang terbaik pada watak Aloi seperti dikehendaki skripnya.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Shaarnaz Ahmad, Nur Fathia, Adam dan Cor­rie.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:10 PM