Oleh Norhayati Nordin


Kalau sebelum ini nama pelakon seperti Fahrin Ahmad dan Zul Ariffin yang sering mendapat jolokan ‘abang sado’, kini muncul penyanyi Sabhi Saddi.

Ditemui baru-baru ini, kelihatan Sabhi, 31, semakin ‘sado’ dengan tubuh sasa yang katanya gigih dibina untuk aktif dalam lakonan.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Nadiku dan Cinta Sesungguhnya ini, dia perlu membina tubuh menjadi sasa untuk kesesuaian watak.

“Sebenarnya, saya sudah bercuti daripada bidang lakonan selama dua tahun. Mujur, sekarang ada rezeki untuk aktif semula dan saya ambil peluang itu.

“Bahkan, saya sekarang sibuk dengan penggambaran drama Puteri Gunung Ledang untuk saluran Hypp TV sebanyak 30 episod,” katanya.

Bergandingan dengan pelakon seperti Ammar Alfian dan Atikah Suhaime, bapa tiga cahaya mata ini berkata, dua tahun lalu dia cuti berlakon kerana memberi tumpuan pada nya­nyian.

Setakat ini, antara drama yang pernah dibintangi Sabhi ialah Walau Air Mata Darah, Antara Laut China Selatan dan Aku Ada Wali.

Menurut anak jati Sabah ini lagi, keutamaannya tetap pada nyanyian dan tawaran berlakon pula diterima kerana kesesuaian watak serta ada kelapangan masa.

“Saya pun sebenarnya tak sangka mendapat tawaran berlakon untuk drama Puteri Gunung Ledang itu. Jadi, saya anggap ia satu rezeki dan kepercayaan orang pada bakat dimiliki.

“Pembabitan saya dalam lakonan juga bukan baru, cuma saya lebih memberi tumpuan menyanyi. Kini, apabila ada tawaran saya aktif semula,” katanya.

Mengulas langkah bina badan lakukannya, Sabhi berkata, dia memang sudah lama mengimpikan memiliki tubuh sasa itu. Cuma, dua tahun lalu keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dan atas nasihat doktor dia tidak boleh aktif bersenam di gimnasium.

“Bagaimanapun, sejak Ramadan tahun lalu selepas keadaan kesihatan pulih, saya kerap ke gimnasium untuk bersenam.

“Inilah hasilnya dan saya sangat berpuas hati. Bahkan, bagi menjaga tahap kesihatan diri saya mengamalkan diet seimbang dan tidak makan nasi.

“Diet pemakanan saya lebih memilih isi ayam dan ikan salmon yang dimasak kosong tanpa sebarang rasa,” katanya.

Mengulas mengenai karier nyanyiannya, Sabhi berkata, dia gembira single Kisah Kita duet bersama Nieyl Mentor berjaya menambat hati pendengar muzik tempatan.

Katanya, lagu itu juga dianggap bernasib baik kerana menjadi lagu tema drama Bencinta lakonan Nur Fathia Latiff dan Fattah Amin yang kini ditayangkan slot Samarinda TV3.

Sabhi berkata satu lagi lagu nyanyiannya iaitu Tiada Lagi Cinta ciptaan Eddie Hamid dan A Aida akan menjadi lagu tema drama Aku Tak Sempurna.

Selain itu, Sabhi yang merancang muncul dengan album bila tiba masa yang sesuai berkata dia akan tampil dengan single solo terbaru, Percuma ciptaan komposer Bemby Noor tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:17 PM