Oleh Zaid Salim


Chukai: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia dua tahun hingga 40-an kerana tidak memiliki sebarang dokumen dan tinggal lebih masa di negeri ini.

Semua PATI terbabit ditahan menerusi Ops Sapu yang dilakukan membabitkan beberapa lokasi tapak pembinaan dan rumah sewa sekitar Paka di Dungun serta Kertih dan Kijal, dekat sini dari 10 malam hingga 3 pagi tadi.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu Ahmad Salihin Salleh berkata, seramai 20 anggota dan pegawai terbabit dalam operasi itu dengan menjadikan rumah kongsi di tapak pembinaan dan rumah sewa sebagai sasaran.

"Dalam usaha mengelak daripada ditangkap, ada PATI cuba bersembunyi di sebalik tuala yang disidai pada ampaian dalam bilik tidak berlampu dan ada yang cuba menyusup masuk ke lubang siling rumah namun gagal.

"Malah ada juga PATI yang tinggal di rumah kongsi menempah kemalangan apabila nekad meredah timbunan besi cerucuk yang belum dipasang di tapak pembinaan bagi mengelak ditahan sebaik menyedari kehadiran kami," katanya.

Ahmad Salihin yang mengetuai operasi itu berkata, PATI yang ditahan membabitkan warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.11

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:18 PM