PATI yang ditahan. FOTO ihsan Polis Marin
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Sebelas pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia bersama tekong darat ditangkap oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 di pesisir pantai Ladang Mados, Bandar Penawar, Kota Tinggi, 1.15 pagi, hari ini.

Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, mereka yang berusia lingkungan 25 hingga 44 tahun itu ditahan selepas mengakui baru mendarat tiba dari Indonesia menggunakan bot pancung.

"Pasukan serbuan PPM Pengerang menjalankan Ops Landai berjaya menahan dan memeriksa sekumpulan 11 PATI iaitu lapan lekaki dan tiga wanita yang sedang diiringi oleh seorang tekong darat warga Indonesia

"Tekong darat terbabit ditahan diatas kesalahan menguruskan pergerakan PATI melalui jalan tidak sah dan gagal mengemukakan sebarang dokumen semasa pemeriksaan.

"Mereka ditahan kerana kesalahan memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan semua disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) / Akta Imigresen 1959/63 ( Pind 2002 )," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 5:55 PM