AFP

London: Bintang Chelsea, Cesc Fabregas melahirkan keinginan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris ‘secepat mungkin’ ketika membayangkan kenapa dia kembali ke kancah bola sepak Inggeris bersama Blues bukannya Arsenal.

Pemain tengah kebangsaan Sepanyol berusia 27 tahun itu melakukan lebih 300 penampilan bersama Arsenal dalam tempoh lapan tahun sebelum kembali ke Barcelona dengan hanya satu pingat kemenangan Piala FA selepas beberapa kali terlepas piala termasuk kekalahan pada final Liga Juara-Juara 2006.

Arsenal mempunyai pilihan untuk membeli semula Fabregas apabila dia meninggalkan Barcelona namun tidak menggunakannya dan dia sebaliknya memilih untuk menyertai kelab musuh London, Chelsea.

Blues yang mendahului liga akan berkunjung ke bekas kelab Fabregas Ahad ini dengan Chelsea kini 10 mata di depan pasukan tangga kedua Arsenal dalam Liga Perdana.

Kemenangan hujung minggu ini akan memastikan kejuaraan pertama Chelsea sejak 2010 dan Fabregas berkata: “Kami hanya mahu memenanginya (Liga Perdana). Lebih cepat, lebih bagus.”

Fabregas pemenang Piala Dunia dan Euro bersama Sepanyol dan menghampiri 100 cap berkata: “Kami mahu memuaskan hati penyokong. Sudah lima tahun mereka tidak menikmati kejuaraan Liga Perdana, bagi saya sudah 27 tahun jadi saya lebih suka memenanginya secepat mungkin.”

Kemenangan 1-0 ke atas Manchester United Sabtu lalu menyaksikan pengurus Chelsea, Jose Mourinho menggunakan Fabregas lebih di bahagian serangan berbanding biasa bagi membolehkan Kurt Zouma mengawal pergerakan pemain tengah Belgium, Marouane Fellaini.

“Jika saya bermain di sana biasanya saya mungkin bergelut sedikit menangani bola tinggi serta aspek fizikal permainan,” jelas Fabregas.

“Kami perlu meletakkan seseorang menjaga Fellaini, terutama bagi bola tinggi, jadi corak kami berubah. Saya fikir Zouma bertindak cemerlang.

“Saya fikir masa depannya di pertahanan tengah tapi dia boleh bertindak baik di bahagian tengah apabila diperlukan. Dia seorang budak yang bagus, mahu belajar dan mahu bermain. Perancangan Mourinho menjadi.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:53 AM