AMIRUDDIN (tengah berdiri) ketika bersama skuad ragbi negara ke Sukan Asia Incheon 2014.
AMIRUDDIN (tengah berdiri) ketika bersama skuad ragbi negara ke Sukan Asia Incheon 2014.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Tolong bantu kami. Sekurang-kurangnya dapat juga ringankan beban kerana ini juga membabitkan imej negara.”

Itu keluhan seorang pegawai tertinggi Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) berhubung kekangan kewangan dialami badan induk itu bagi menganjurkan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) yang dijadualkan berlangsung di ibu kota bermula 10 Mei.

Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan berkata, menjelang 18 hari sebelum skuad kendalian jurulatih Lee Nyuk Fah turun mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu, kos bagi menganjurkan kejohanan ini tidak mencukupi terutama bagi menampung perbelanjaan makan dan tempat tinggal pemain.

Jelas sumber itu, KRM menerusi Presiden Datuk Wira Amiruddin Embi hanya menerima geran daripada Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) sebanyak RM160,000 serta Kementerian Pelancongan Malaysia (RM10,000) bagi menganjurkan ARC itu yang turut menawarkan mata ranking dunia kepada skuad kebangsaan.

“Masalah utama adalah kekurangan penaja yang tidak berminat menaja kejohanan itu walaupun Malaysia tampil selaku juara bertahan.

“Bayangkan dengan sumber kewangan terhad, bagaimana kami hendak menjayakan kejohanan bertaraf Asia itu. Kami perlu bayar makanan, tempat tinggal, pengadil dan juga hadiah wang tunai kepada pemenang.

“Jadi kos yang ada tidak mencukupi. Justeru, saya memohon pihak kerajaan khususnya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) serta badan swasta dapat membantu meringankan beban kami.

“Saya percaya, jika semua pihak membantu, kita dapat menjadi tuan rumah terbaik bagi menjaga imej negara,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Skuad ragbi negara yang muncul juara ARC di Qatar musim lalu, berpeluang cerah dinaikkan pangkat ke divisyen satu musim depan sekiranya menjuarai edisi kali ini.

Berdasarkan format baru ARC musim ini, pasukan seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Taiwan yang beraksi dalam divisyen satu diturunkan ke divisyen dua dan bakal memberi saingan kepada Malaysia.

Malaysia bakal membuka kempen ARC bertemu Taiwan pada aksi pertama 10 Mei ini, sebelum turun menentang UAE pada 13 Mei dan Thailand tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:55 AM