Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad (gambar) meminta bekas pelumba negara Nor Effandy Rosli bersabar dan memberikan masa kepada pihaknya merangka program untuk mengembalikan kegemilangan acara lebuh raya.

Jelas Naim, kepimpinan baru PKBM yang diberikan mandat ahli gabungan sehingga 2017 mempunyai perancangan tertentu terutamanya selepas mesyuarat exco yang pertama baru-baru ini.

Effandy menerusi laporan Arena Metro semalam, menjelaskan dia masih tidak percaya barisan kepimpinan baru PKBM yang dipilih penghujung Mac lalu mampu melonjakkan acara lebuh raya ke peringkat lebih tinggi.

“Kita minta dia bersabar kerana kami sedang merangka pelan pembangunan tertentu untuk dilaksanakan. Antara pembaharuan yang kami mahu membabitkan setiap negeri mewujudkan sebuah pasukan berstatus benua seperti dilakukan Terengganu menerusi Terengganu Cycling Team (TSG).

“Malah saya sudah bercakap dengan wakil (persatuan) Kuala Lumpur dan Kedah untuk melaksanakan perkara ini selain beberapa negeri lain. Semua memberikan reaksi positif dengan harapan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya hujung tahun ini. Secara tidak langsung ia bakal mewujudkan banyak kejohanan dan persaingan,” katanya.

Naim percaya langkah bakal dilaksanakan PKBM itu akan kembali melonjakkan pelumba negara untuk sekurang-kurangnya kembali menggegar dan meraih pingat di pentas Asia.

Acara lebuh raya negara sering menjadi tumpuan apabila pelumba negara gagal menyerlah terutamanya di Sukan SEA akibat pelbagai masalah yang timbul, kali terakhir pelumba negara memenangi emas di temasya dwitahunan berkenaan adalah pada 2005.

Sementara itu pada mesyuarat exco yang berlangsung baru-baru Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab dilantik menggantikan Naib Presiden Amrun Misnoh sebagai Pengerusi Biro Pembangunan dengan Naim sebagai Timbalan Pengerusi dengan bidang tugas merangkumi merangka dan memantau program membabitkan acara trek, lebuh raya, BMX, basikal bukit dan Cycling For All.

“Secara tidak langsung sebagai Timbalan Pengerusi, saya berpeluang menyumbang dan membantu untuk memulihkan acara lebuh raya negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:07 AM